Terusan Wan Mat Saman perlu pelan pembangunan khusus

Iklan
Sebahagian Terusan Wan Mat Saman berdekatan Simpang Empat ditumbuhi semak-samun. Laporan Sinar Harian pada 21 Disember.

ALOR SETAR - Kos untuk pembersihan Terusan Wan Mat Saman secara berkala sebanyak 12 pusingan agak tinggi sehingga mencecah RM130,000 setahun.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) memaklumkan, kos terbabit hanya melibatkan kerja-kerja penyenggaraan terusan tanpa sebarang pembangunan khusus.

Iklan
Iklan

Sehubungan itu MADA berhasrat untuk mengemukakan pelan pembangunan khusus Terusan Wan Mat Saman kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi mengembalikan nilai khazanah negeri Kedah itu.

"Namun MADA tidak mempunyai kawalan terhadap sikap orang ramai yang mengotorkan terusan atau tali air MADA, bagaimanapun beberapa langkah boleh dilaksanakan antaranya memasang papan tanda larangan pembuangan sampah dalam saluran air.

Iklan

"Hebahan dan kempen cintai sumber air melalui pelbagai platform seperti perjumpaan bersama peladang termasuk di media sosial juga boleh dilakukan, serta pemantauan berterusan berdasarkan Akta Pengairan 1953 dan Akta Kanun Tanah Negara 1965,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini pada Rabu.

Sebelum ini, media melaporkan terusan berkenaan berbau dan dikotori sampah-sarap di beberapa bahagian seolah terbiar.

Iklan

Beliau juga meminta orang ramai agar tidak menjadikan Terusan Wan Mat Saman sebagai tong sampah selain menyeru masyarakat untuk sama-sama memulihara khazanah sejarah berkenaan.

Kenyataan itu juga memaklumkan, MADA menjalankan kerja-kerja penyenggaraan Terusan Wan Mat Saman dari Batu 4 Tandop ke Terusan Selatan sepanjang 24.2 kilometer (km) sejak tahun 1970.

"Skop kerja adalah pembersihan saluran air termasuk membersihkan tebing saluran, membuang enapan apabila perlu dengan menggunakan jentera dalaman selain pembersihan sampah-sarap tiga kali setahun,” kata kenyataan itu.

Menurutnya lagi, tanggungjawab menyelenggara Terusan Wan Mat Saman melibatkan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) bermula dari Sungai Kedah hingga Batu 4 jalan raya Alor Setar-Guar Chempedak sepanjang 5.5 km selain Pekan Simpang Empat dan Kota Sarang Semut.

Manakala MADA pula bermula dari Batu 4 Tandop ke Terusan Selatan sepanjang 24.2 km dan selebihnya oleh Majlis Daerah Yan dari Terusan Selatan hingga lencongan Sungai Gurun sepanjang 2.8 km.

"MADA dengan kerjasama Majlis Daerah Yan telah membangunkan Galeri Terusan Wan Mat Saman bagi tujuan pemuliharaan warisan negara berpotensi tinggi itu untuk generasi masa hadapan selain mewujudkan satu produk pelancongan baharu di negeri ini,” kata kenyataan itu.

Pada 2017, International Commission on Irrigation and Drainage (ICID) telah mendaftarkan Terusan Wan Mat Saman sebagai World Heritage Irrigation Structures sempena The 3rd World Irrigation Forum & The 70th International Executive Council Meeting di Bali, Indonesia.

Menurut kenyataan itu lagi, pengiktirafan berkenaan adalah untuk struktur melebihi 100 tahun dan masih berfungsi dalam pengurusan pengairan dan merupakan sebahagian rangkaian sistem pengairan MADA yang dipelihara sehingga kini.

Terusan Wan Mat Saman mula dibina pada 13 Ogos 1885 dan siap dibina pada 12 Julai 1896 menghubungkan Sungai Kedah di Alor Setar hingga ke kaki Gunung Jerai di Gurun.

Terusan tersebut berada pada dua aras, iaitu aras tinggi antara Tanah Merah dan persimpangan dengan terusan besar sejauh 10.7km, di mana air akan dipam dari Sungai Pendang dan mengairi terusan tersebut.

Bagi aras lebih rendah pula, salirannya di sebelah laut terusan besar tersebut sepanjang 6.4km.

Sepanjang 17.5km terusan ini berada dalam daerah Kota Setar manakala 15km dalam daerah Yan.

Tujuan asal terusan ini dibina adalah untuk mengairi sawah padi namun sejak wujudnya Skim Pengairan Muda pada 1970, terusan ini digunakan sebagai parit utama yang menyalirkan air saliran jalan raya Persekutuan Alor Setar-Guar Chempedak, air saliran kampung serta air buangan sawah.