Covid-19: Malaysia tidak beri kelonggaran pada mana-mana negara

Iklan
Anwar (tengah) ketika sidang media selepas Mesyuarat Kabinet di Pejabat Perdana Menteri pada Rabu. - Foto Sadiq Asyraf/Pejabat Perdana Menteri

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan memutuskan kepentingan dan perawatan kesihatan rakyat diberi keutamaan berbanding dengan hal-hal melibatkan pelancongan dan ekonomi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Justeru itu, peraturan dan SOP kemasukan mana-mana pelancong dari mana-mana negara tidak dilonggarkan sama sekali terutamanya dari negara-negara berisiko tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mesyuarat kabinet di Pejabat Perdana Menteri di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, langkah kerajaan untuk memperketatkan kemasukan pelancong asing ke Malaysia bukan untuk mendiskriminasi mana-mana negara.

Ujarnya, adalah tidak wajar untuk menyatakan negara yang mempunyai jumlah penduduk paling ramai di dunia iaitu China sebagai 'punca' peningkatan jangkitan Covid-19 di Malaysia.

"Jadi, saya hendak jelasnya (bahawa) dari segi angka yang kita perolehi ini (tidak memperlihatkan berlakunya jangkitan Covid-19 yang tinggi).

"Bagaimanapun, ini tidak bermakna kita harus memberi kelonggaran kepada mana-mana negara termasuk dari China," ujar beliau.

Seramai 336,000 rakyat dari China direkodkan memasuki Malaysia sepanjang tahun lalu. Majoriti daripadanya merupakan pelancong.

Isu mengenai kedatangan pelancong dari China mencetuskan polemik susulan kerajaan negara itu mengumumkan pengembara 'inbound' tidak perlu lagi kuarantin.

Susulan keputusan China itu, beberapa negara termasuk Jepun mewajibkan ujian saringan Covid-19 bagi ketibaan pelancong dari tanah besar China mulai Jumaat lalu.