AS taja RM1.1 juta untuk pemulihan warisan, budaya Malaysia

Iklan
MCFreeters (dua dari kanan) dan Razli (kiri) melihat Harun Hasan (dua dari kiri) memainkan alat muzik, rebana kercing.

BACHOK - Kedutaan Amerika Syarikat (AS) menaja 11 geran penyelidikan dan pemuliharaan keseluruhan bernilai lebih AS$250,000 atau RM1.1 juta kepada Malaysia dalam usaha pemuliharaan warisan dan budaya di negara ini bermula tahun 2001 sehingga 2022.

Duta Besar AS ke Malaysia, Brian D McFeeters berkata, geran menerusi Ambassador’s Fund for Cultural Preservation itu antaranya diberikan untuk usaha-usaha pemuliharaan budaya seperti wayang kulit dan tarian menora.

Iklan
Iklan

"Pihak kedutaan sangat mengalu-alukan langkah memartabatkan warisan dan budaya supaya terus kekal dikenali dalam kalangan masyarakat setempat mahupun dunia.

"Budaya dan warisan yang sentiasa dipraktiskan juga mampu mengukuhkan hubungan sesebuah masyarakat dalam negara,” katanya pada sidang akhbar selepas Penutupan Projek Pemuliharaan Rebana Kercing di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini pada Rabu.

Iklan

Hadir sama, Naib Canselor UMK, Profesor Datuk Dr Razli Che Razak.

MCFreeters (tengah) bergambar bersama pewaris cilik tradisi dan budaya rebana kercing di Kelantan.

MCFreeters yang fasih berbahasa Melayu itu turut teruja menyaksikan gelagat lebih 100 murid dari beberapa sekolah di negeri ini yang mempersembahkan rebana kercing pada majlis itu.

Iklan

"Amat menarik apabila dapat melihat golongan muda seawal usia kanak-kanak yang mula terlibat mempraktiskan elemen warisan dan budaya.

"Ini antara hasil yang dimahukan dalam langkah melakukan pemuliharaan,” katanya.

Untuk rekod, projek-projek yang mendapat tajaan kedutaan tersebut ialah membaik pulih dan menaik taraf rumah tradisional di Melaka (2001 dan 2003); pemuliharaan tarian menora di Kelantan (2002); pemuliharaan tarian, nyanyian dan alat muzik di Sawarak (2004); pemuliharaan Festival Kadazandusun di Sabah (2006); pemuliharaan Teater Bangsawan di Pulau Pinang (2007 dan 2009).

Dokumentasi Court House Taiping, Perak (2009); membaik pulih Court House Taiping, Perak yang lama (2009), Dokumentasi Wayang Kulit (2012) dan pemuliharaan rebana kercing di Kelantan (2022).