SHAH ALAM - Naib Presiden UMNO, Ismail Sabri Yaakob berkata, tuduhan yang mengaitkan beliau terlibat dengan 'gerakan rahsia' dilabel sebagai 'Langkah London' adalah fitnah yang berniat jahat.
Beliau yang juga bekas perdana menteri menyifatkan serangan fitnah itu dilakukan oleh pihak yang 'tidak mengenal dosa'.
"Tujuan saya (berdiam diri) adalah supaya tiada spekulasi dan fitnah yang mengaitkan saya, tapi pemfitnah yang tidak mengenal dosa ini masih terus mengaitkan saya.
"Sebab itu saya menganggap (tuduhan) ini merupakan tindakan fitnah yang berniat jahat,” katanya pada Rabu.
Beliau mengulas mengenai dakwaan 'Langkah London' dikatakan cubaan menjatuhkan kerajaan perpaduan membabitkan beberapa pemimpin politik, termasuk daripada UMNO dah pemimpin parti pembangkang.
Gerakan itu didakwa mengadakan pertemuan rahsia di London baru-baru ini dan dikatakan sedang mengatur gerakan bagi membuat penjajaran semula politik negara.
Dalam pada itu, Ismail Sabri turut menafikan beliau ada bercuti ke London baru-baru ini, sebaliknya ke Timur Tengah.
"Saya berada di Abu Dhabi dan Dubai untuk bercuti bersama keluarga. Kami melawat Warner Bros di Abu Dhabi.
"Takkan tak pakai winter cloth (baju sejuk) kalau di London," ujarnya.