DEMI keselamatan diri, pelakon Nadia Aqilah mengelak untuk pergi ke pantai timur, New Zealand.
Ketika dihubungi Sinar Harian menerusi aplikasi WhatsApp, Nadia Aqilah Bajuri, 33, berkata, ketika ini dia berada dalam keadaan selamat dan berjaga-jaga.
"Buat masa ini tak ada apa-apa yang boleh saya lakukan cuma elak pergi ke area pantai timur. Insya-ALLAH semuanya akan baik-baik sahaja," ujarnya yang sedang menikmati percutian sempena ulang tahun perkahwinan pertama.
Pada Khamis lalu, Astro Awani melaporkan Tsunami mega bakal landa New Zealand, bencana lebih dahsyat dari Jepun.
Difahamkan, jangkaan itu dibuat berdasarkan kajian pakar penyelidik dari East Coast LAB bahawa gempa yang bakal melanda New Zealand ini mampu mencapai kekuatan 9.0 magnitud jika gegaran kuat berlaku di zon benam Hikurangi
Sejurus berita tersebut, Nadia mengakui tiada apa yang dapat dilakukan selain hanya mampu berdoa dan membaca berita berkenaan kesalamatan dan amaran tsunami.
Kini, pelakon filem Dorm Melati itu berada di Pekan Lake Tekapo, Selatan, New Zealand.
"Saya dah sampai masa tu. Jadi memang tak boleh buat apa. Saya hanya baca berita fasal keselamatan dan berkenaan amaran tsunami sahaja.
"Rakan-rakan rapat dan ahli keluarga ada beritahu tapi saya tahu mereka tak mahu saya panik, mereka berulang kali tanya khabar saya di sini.
"Apa yang boleh saya buat ketika ini hanyalah berdoa dan semoga dapat pulang dengan selamat, insya-ALLAH," katanya yang akan pulang ke tanah air pada 27 April depan