AMPANG - Polis menemui beberapa bahan dipercayai digunakan untuk membuat bom menerusi serbuan di sebuah rumah di Serdang, Kedah yang membawa kepada tangkapan melibatkan pasangan suami isteri dipercayai terlibat dalam kejadian letupan di Pandan Indah pada Khamis.
Sumber berkata, pemeriksaan dijalankan Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di rumah terbabit menemukan beberapa kandungan bahan sama yang dipercayai untuk menghasilkan bahan letupan itu.
Pada masa sama, pasangan suami isteri terbabit direman tujuh hari bagi membantu siasatan berkaitan kejadian letupan melibatkan seorang tukang masak maut di hadapan sebuah restoran di Pandan Indah di sini pada Khamis lalu.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, kedua-dua suspek diberkas sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.
"Serbuan dijalankan kira-kira jam 7.20 petang di sebuah taman perumahan, Serdang, Kedah
"Perintah tahanan reman telah dipohon dan pihak Majistret telah membenarkan tahanan reman terhadap pasangan ini selama tujuh hari," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Pada 29 Disember lalu, media melaporkan mangsa berusia 28 tahun maut selepas satu bungkusan yang diletakkan di atas bonet keretanya meletup dalam kejadian di hadapan sebuah restoran yang merupakan tempat kerjanya.
Setakat ini kejadian berkenaan dipercayai bermotifkan rasa cemburu suspek lelaki terhadap mangsa.
Siasatan awal mendapati mangsa telah melihat satu bungkusan berada di bonet keretanya jenis Toyota Corolla Altis dan memegangnya sebelum meletup.
Letupan itu mengakibatkan mangsa parah di badan dan tangan sebelum dikejarkan oleh orang awam ke Hospital Ampang. Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 9.45 malam ketika sedang menerima rawatan.
Polis turut menemui beberapa objek dipercayai bahan letupan yang digunakan berhampiran lokasi kejadian tetapi masih menyiasat perkara berkenaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.