PERENANG muda negara, Arvin Shaun Singh Chahal mengharapkan kedatangan tahun baharu 2023 mampu menjanjikan kejayaan yang lebih bermakna buat dirinya.
Selepas hanya menyumbang satu pingat perak bagi acara 4x200 meter (m) gaya bebas berganti-ganti lelaki dalam Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam pada Mei lalu, Arvin bertekad untuk meraih pengiktirafan lebih besar di pentas antarabangsa.
Katanya ini termasuk menggondol pingat emas pada temasya Sukan SEA di Phnom Penh, Kemboja yang dijadualkan berlangsung dari 5 hingga 17 Mei depan.
"Sukan SEA Hanoi merupakan satu pendedahan terbaik buat saya walaupun terdapat beberapa kekecewaan termasuk dibatalkan penyertaan bagi acara 4x100m gaya bebas berganti-ganti lelaki.
"Namun, kekecewaan itu telah membakar semangat dan motivasi saya untuk menebusnya semula. Pada temasya Sukan SEA akan datang, saya mahu bermula dengan lebih kuat selain mempersiapkan diri untuk tahun yang mendatang,” katanya ketika dihubungi.
Selain itu, atlet berusia 22 tahun tersebut yakin berada di landasan yang betul untuk merebut tempat sekali gus mewakili negara dalam Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.
Untuk itu, Arvin berkata beliau akan terus berlatih bersungguh-sungguh supaya berada pada tahap terbaik bagi mencapai kemuncak prestasinya dalam temasya sukan terbesar dunia itu.
"Saya akan berkorban sepenuh tenaga dan usaha untuk beraksi di Sukan Olimpik 2024. Tiada siapa yang boleh menghalang saya daripada mencapai impian ini,” katanya.
Walaupun berdepan beberapa rintangan dalam pertandingan yang disertainya, Arvin tetap berpuas hati dengan pencapaiannya sepanjang tahun lepas memandangkan ia kali pertama beliau berjaya pulih daripada belenggu kecederaan sejak 2018.
Beliau juga berharap keputusan untuk kembali ke Australia dan berlatih di bawah jurulatih lamanya, Dean Boxall sejak Oktober lalu akan membuahkan hasil.
"Saya akan memberi fokus kepada meningkatkan kekuatan, penyesuaian dan teknik di samping terus berfikiran positif,” katanya. - Bernama