UMK dokumentasi 150 tahun rebana kercing

Iklan
Dr Razli (kiri) MCFreeters (kanan) mencuba memainkan alat muzik tradisional rebana kercing.

BACHOK - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mendokumentasikan dua buku berkaitan seni warisan dan budaya rebana kercing yang berusia 150 tahun di negeri ini.

Naib Canselor UMK, Profesor, Datuk Dr Razli Che Razak berkata, kejayaan dicipta oleh 27 penyelidik UMK menerusi Projek Penyelidikan dan Pemuliharaan Rebana Kercing Kampung Laut selama setahun diketuai Penyelidik Utama, Profesor Dr Nik Maheran Nik Muhammad yang juga Timbalan Naib Canselor UMK (Akademik dan Antarabangsa).

Iklan
Iklan

"Buku bertajuk Rebana Kercing Kampung Laut: Preservation of the Art setebal 108 muka surat dan sebuah lagi bertajuk The Preservation of Rebana Kercing: The Journey iaitu setebal 90 muka surat.

"Kandungan buku adalah berkaitan situasi semasa, sejarah, Persatuan Rebana Kercing, instrumen, tarian, kostum dan aktivis serta visual kerja-kerja pemuliharaan warisan itu.

Iklan

"Selain itu, dokumentari bertajuk Rebana Kercing:The Dying Arts berkisar tentang sejarah rebana kercing sebanyak 13 episod bakal ditayangkan di saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM) tidak lama lagi,” katanya pada sidang akhbar selepas Penutupan Projek Pemuliharaan Rebana Kercing di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini pada Rabu.

MCFreeters yang fasih berbahasa Melayu itu turut teruja menyaksikan gelagat lebih 100 murid dari beberapa sekolah di negeri ini mempersembahkan tarian rebana kercing pada majlis itu.

Iklan

Dr Razli berkata, penyelidikan seni budaya tersebut bertujuan memartabat sejarah dan keunikan warisan rebana kercing Kampung Laut yang mendapat tajaan geran RM 200,000 daripada Kedutaan Amerika Syarikat bawah dana penyelidikan Ambassadors Fund for Cultural Preservation (AFCP).

"Rebana kercing adalah budaya yang berunsurkan keislaman berdasarkan bait-bait lirik Arab Parsi dipercayai mula bertapak sejak 150 tahun lalu di Kampung Laut, Tumpat.

"Kajian dari perspektif sosiobudaya masyarakat itu membolehkan generasi baharu menghargai dan terus merasai peninggalan masyarakat terdahulu,” katanya.

Sementara itu, pada majlis tersebut turut disampaikan hadiah kepada murid Sekolah Kebangsaan (SK) Machang yang mendapat tempat pertama Pertandingan Rebana Kercing dengan membawa pulang RM 3,000.

Tempat kedua, SK Kampung Laut (RM 2,000) dan tempat ketiga dimenangi SK Datu Hashim (RM 1,000) manakala SK Zainab meraih saguhati (RM 500).

"Tanpa usaha gigih, tradisi seperti ini berkemungkinan pupus bersama peredaran masa,” ujar Dr Razli.