MOSCOW - Rusia mendakwa serangan misil ketika sambutan Tahun Baharu pada akhir minggu lalu yang meragut sekurang-kurangnya 89 nyawa anggota tentera berpunca daripada penggunaan telefon bimbit.
Siasatan awal itu mendapati kedegilan anggota tentera tersebut membawa padah apabila lokasi mereka berjaya dikesan musuh.
Iklan
Iklan
"Anggota yang didapati bersalah selepas siasatan tersebut selesai akan diheret ke muka pengadilan.
"Langkah tegas telah diambil untuk mengelakkan kejadian sama daripada berulang,” ujar Kementerian Pertahanan Rusia pada Rabu.
Menurut Moscow, kira-kira enam misil dilancarkan daripada sistem roket Himars buatan Amerika Syarikat (AS) ke kolej vokasional yang menempatkan kerahan tentera di Makiivka di wilayah Donetsk, namun dua daripadanya berjaya ditembak jatuh.
"Timbalan komander rejimen itu, Leftenan Kolonel Bachurin antara yang terbunuh dalam serangan tersebut. Ia adalah jumlah korban tertinggi sejak konflik bersama Ukraine tercetus,” jelas kementerian itu lagi.
Sementara itu, maklumat risikan Ukraine mendakwa serangan di kemudahan yang menempatkan kira-kira 300,000 anggota kerahan itu telah mengorbankan sehingga 400 orang, manakala 300 yang lain cedera. - Agensi