Perak teruskan rebat elektrik, air percuma

Iklan
Ahmad Faizal mengumumkan bantuan rebat bil elektrik dan pemberian air percuma pada Sidang DUN Perak, hari ini.

IPOH - Bantuan rebat bil elektrik dan pemberian air percuma antara program kerajaan negeri secara bersasar yang dilaksanakan bagi mengurangkan kos sara hidup khusus kepada keluarga miskin dan miskin tegar.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pembiayaan bil elektrik sehingga RM40 merupakan program baharu diperkenalkan bagi menggantikan program rebat bil elektrik RM20 yang dilaksanakan pada 2008 lalu.

Iklan
Iklan

"Dengan pengenalan program ini, pengguna tidak lagi menerima rebat RM20 sebaliknya lebih tinggi sekiranya tersenarai sebagai golongan sasar yang layak menerima," katanya menjawab soalan lisan dikemukakan Datuk Sham Mat Sahat (BN-Alor Pongsu) pada Sidang DUN Perak, hari ini.

Beliau berkata, bagi pemberian air percuma pula, kerajaan negeri melalui Lembaga Air Perak (LAP) telah meluluskan pemberian air percuma 25 meter padu seperti pada 18 Mac 2019 dengan anggaran penerima manfaat seramai 50,700 orang.

Iklan

"Walaupun berdepan dengan kekangan kewangan, kerajaan negeri tetap memberi keutamaan kepada usaha-usaha membantu golongan yang memerlukan pembelaan.

"Penekanan diberikan memastikan segala usaha ini memberi impak yang langsung kepada golongan sasar tanpa mengira batasan kaum dan agama," katanya.

Iklan

Pemberian rebat bil elektrik dan air percuma merupakan program yang pernah diperkenalkan kerajaan terdahulu.

Ahmad Faizal (Bersatu-Chenderiang) berkata, antara pendekatan lain yang diambil dalam mengurangkan tekanan kos sara hidup adalah Kad Perak Prihatin, Peluasan Projek Ladang Rakyat dan Pengenalan Skim Ladang Harapan serta fokus pertumbuhan sektor keusahawanan khususnya melibatkan peniaga-peniaga kecil dan sederhana.

Menurutnya, Skim Ladang Harapan mempunyai konsep berbeza berbanding skim sedia ada kerana tidak dianggotai individu, sebaliknya keahlian terdiri daripada Koperasi atau Persatuan yang berdaftar di Perak.

"Begitu juga dengan Kad Perak Prihatin yang telah diberi nilai tambah, pemegang kad boleh membeli barangan persekolahan seperti kasut, beg, buku, alat tulis serta pakaian seragam serta pelbagai barangan asas lain seperti lampin pakai buang untuk bayi dan dewasa, sabun, kelengkapan mandian dan bahan pencuci.

"Kesemua barangan itu boleh diperolehi di 169 kedai runcit berantai di seluruh negeri Perak yang selesai melalui proses integrasi," katanya.