UMNO berdepan krisis perpecahan jika telagah

Iklan
Md Shukri Shuib

SHAH ALAM - Kritikan terbuka dan kenyataan keras yang dibuat Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed terhadap pemimpin lain parti itu dikhuatiri akan mewujudkan krisis perpecahan lebih besar dalam UMNO.

Penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, UMNO juga berada di ambang kehancuran jika pertelagahan, pertikaian dan perseteruan antara pemimpinnya tidak dihentikan dengan serta-merta.

Iklan
Iklan

"Jadi apa sahaja bentuk kritikan dan pertelagahan terbuka sesama pemimpin parti sama ada menerusi media sosial atau media arus perdana, ia tidak boleh dilakukan bagi memulihkan UMNO yang mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Nur Jazlan yang sejak akhir-akhir ini dilihat lantang mengkritik pemimpin partinya yang tidak sehaluan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi media sosialnya.

Iklan

Mohammad Tawfik menegaskan, percakaran sesama pemimpin parti itu akan menjejaskan tumpuan pemimpin untuk berkhidmat dan berbakti kepada rakyat yang seterusnya akan terus menghakis keyakinan rakyat kepada parti berkenaan.

"Sebagai pemimpin tertinggi UMNO, golongan ini seharusnya perlu berusaha memulihkan UMNO, mengembalikan keyakinan rakyat dan memainkan peranan berkesan agar BN dapat mewujudkan kestabilan dalam kerajaan.

Iklan

"Ini sebenarnya tugas pemimpin UMNO dan bukannya bergaduh antara satu sama lain hingga merosakkan UMNO,” jelasnya.

Beliau memberitahu, kritikan terbuka dan kenyataan keras kepada sesama pemimpin UMNO itu tidak sepatutnya berlaku kerana UMNO mempunyai saluran tersendiri untuk membincangkan sebarang isu, masalah dan perkara yang berbangkit.

"Sebarang masalah boleh dibincangkan sama ada di peringkat Badan Perhubungan Negeri, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) atau kalau melibatkan isu dasar boleh dibincangkan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) itu sendiri,” ujarnya.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Md Shukri Shuib berkata, kepimpinan UMNO perlu mengamalkan sifat demokrasi profesional iaitu meraikan kepelbagaian pandangan dalam parti.

"Kita kena ingat UMNO parti yang mendukung demokrasi apabila parti ini dan rakan-rakannya dalam parti Perikatan dulu berjuang untuk menuntut pembinaan negara baharu yang merdeka.

"Jadi apabila kemerdekaan yang dicapai apa yang dibuat oleh UMNO dan Perikatan kita terima pakai ideologi demokrasi dan bila kita pakai demokrasi itu sebagai elemen negara, begitu juga dalam parti kita pakai konsep demokrasi.

"Cuma demokrasi hari ini perlu disuburkan dari aspek profesional. Tegur menegur satu sama lain itu tidak ada masalah, tapi jangan membawa kepada sifat anarkis yang mahu menunjukkan UMNO tidak bersatu,” ulasnya.

Md Shukri yang juga Presiden Persatuan Demokrasi Profesional (ProDem) menjelaskan, perbezaan pandangan perlu dirasai dengan sifat terbuka agar rakyat tidak melihat perkara itu seolah-olah mewujudkan permusuhan dalaman.

"Jadi kalau ada niat segelintir pemimpin buat teguran agar teguran itu disensasikan atau dijadikan medan untuk raih populariti, saya fikir perlu dihentikan kerana sifat permusuhan dalam parti tidak akan membawa pemimpin ke mana-mana.

"Saya selaku Presiden ProDem harap elemen demokrasi profesional dapat dimantapkan semua parti politik dalam negara kita,” tegas beliau.