Rumah mangsa banjir di Baling siap Februari - Sanusi

Iklan
Kejadian banjir pada 4 Julai itu yang mengakibatkan 41 kawasan di daerah Baling terjejas di samping mengorbankan tiga nyawa. - Foto Bernama (Gambar kecil: Muhammad Sanusi)

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Rumah mangsa banjir dan kepala air di Kupang, Baling akan disiapkan selewat-lewatnya pada Februari ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beliau akan meminta pihak pemaju untuk memberi laporan perkembangan berhubung proses pembinaan rumah berkenaan.

Iklan
Iklan

"Kalau saya cakap siap awal, tetapi tidak boleh siap pada waktu yang dimaklumkan susah pula, jadi saya akan minta laporan jangkaan bila rumah itu boleh siap daripada pihak pemaju," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas majlis amanat kepada penjawat awam Kedah di Dewan Seri Mentaloon di sini pada Khamis.

Iklan

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri juga akan menyambung bayaran sewa untuk penempatan sementara mangsa sehingga rumah baharu siap sepenuhnya.

"Saya akan berbincang dengan Pegawai Daerah Baling kerana kita sasarkan rumah itu siap sepenuhnya pada Disember lalu dan kerajaan negeri juga menanggung bayaran sewa rumah mangsa banjir selama enam bulan.

Iklan

"Tetapi sekarang sudah masuk Januari dan rumah masih belum siap lagi, jadi kita akan bantu untuk sambung bayaran sewa itu sehingga kesemua rumah berkenaan siap dibina sepenuhnya," katanya.

Pada 6 Julai tahun lalu, Muhammad Sanusi memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan menanggung sepenuhnya bayaran sewa untuk penempatan sementara selama enam bulan bagi penduduk yang kehilangan rumah akibat banjir dan kepala air yang berlaku di Baling pada 4 Julai 2022.

Kejadian banjir pada 4 Julai itu mengakibatkan 41 kawasan di daerah Baling terjejas di samping mengorbankan tiga nyawa termasuk seorang ibu hamil berusia 23 tahun serta mengakibatkan kerugian berjumlah RM28 juta.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa kerajaan negeri Kedah bertanggungjawab dalam menyelesaikan isu rumah mangsa banjir di Baling.

Menurut Ahmad Zahid, kerajaan negeri harus menterjemahkan sokongan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 dengan memberi bantuan tanpa kerajaan Persekutuan.