Kantoi seleweng diesel subsidi lepas isi minyak sejam

Iklan
Dua tangki disyaki berisi minyak diesel bersubsidi ditemui di dalam sebuah lori dalam operasi terbabit. - Foto KPDN PERAK

IPOH - Tindakan mencurigakan sebuah lori mengisi minyak diesel bersubsidi selama sejam di sebuah stesen minyak di Simpang Pulai di sini membawa kepada kejayaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menumpaskan kegiatan penyeleweng bahan api bersubsidi.

Pengarah KPDN Perak, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, operasi membabitkan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN negeri itu dilakukan hasil intipan yang dijalankan selama dua minggu di stesen minyak sekitar Simpang Pulai dan Gopeng pada Rabu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dalam operasi itu, pihaknya mengesan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan yang sedang mengisi minyak di sebuah stesen minyak dengan mengambil masa terlalu lama.

"Curiga dengan keadaan itu, anggota yang terlibat dalam operasi terbabit bertindak mengekori pergerakan lori berkenan dan hasilnya mereka berjaya menemukan satu lokasi pusat pengumpulan minyak disyaki diesel di Taman Perindustrian Tungzen yang dipercayai beroperasi tanpa lesen yang sah.

Iklan

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat dua skid tank berisi minyak disyaki diesel berada di premis tersebut manakala terdapat dua tangki empat segi di dalam lori berkenaan yang berisi minyak disyaki diesel," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Saifullizan berkata, susulan penemuan itu, dua lelaki berusia dalam lingkungan 42 dan 32 tahun yang disyaki pemandu serta pemilik premis telah ditahan untuk siasatan lanjut.

Iklan

Katanya, sebanyak 7,600 liter minyak disyaki diesel serta peralatan kelengkapan lain telah disita termasuk tiga buah lori disyaki telah diubah suai pada tangki asal untuk digunakan bagi membeli minyak diesel di stesen-stesen minyak yang berdekatan.

Beliau berkata, nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM102,640.

Jelasnya, siasatan lanjut ke atas pemilik kenderaan, premis dan stesen minyak yang berkaitan akan diteruskan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.