Polis bantu JAINJ serbu program Hizbut Tahrir

Iklan
Mohd Khalil ketika sidang media memaklumkan pihaknya ada membantu JAINJ dalam serbuan ke atas program Hizbut Tahrir di Johor Bahru, baru-baru ini.

KULAI - Serbuan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) ke atas program ajaran Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) di negeri ini pada 6 April lalu, dilakukan dengan kerjasama Polis Johor.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, pihaknya menggerakkan siasatan awal sebelum mengetengahkan perkara itu dan bekerjasama dengan JAINJ.

Iklan
Iklan

"Hasil serbuan dilakukan, seramai 48 individu disaring JAINJ dan tiga daripadanya ditahan mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Johor) 1997.

"Saya rasa selepas ini, untuk maklumat lanjut, boleh merujuk kepada pihak jabatan agama," katanya pada sidang media selepas hadir Program High Profile Policing di Sekolah Kebangsaan (SK) Polis Kem di sini, hari ini.

Iklan

Menurutnya, setakat ini Polis Johor tidak mendapat sebarang maklumat wujudnya penglibatan kumpulan pengganas namun pihaknya akan bertindak melakukan risikan jika ada mana-mana kumpulan melakukan aktiviti penyelewengan akidah.

"Kita akan buat risikan dan melihat kepada faktor-faktor sebegitu. Kerana polis tidak akan membiarkan benda itu begitu sahaja.

Iklan

"Polis Johor sentiasa bersiap siaga pada setiap masa dalam mendepani cabaran wujudnya kumpulan ajaran yang menyimpang dari agama Islam sehingga boleh membawa kepada kemudaratan keselamatan," katanya.

Sementara itu, Mohd Khalil berkata, pihaknya berasa terpanggil dan memberi pengiktirafan kepada SK Polis Kem sebagai sekolah yang dekat di hati Polis Johor.

"Hari ini, kita datang sempena Hari Polis ke-212. Kita buat lawatan dan kita merasakan bahawa dengan cara begini, kita dapat memberi pendedahan secara langsung kepada pelajar supaya mereka dekat dengan polis," katanya.

Terdahulu, JAINJ menyerbu program HTM berupa seminar bertajuk 'Kejatuhan dan Kebangkitan Khilafah Menentang Ancaman Liberalisme' di pejabat gerakan itu di Johor Bahru.

Tiga anggota HTM terdiri daripada ahli panel dan moderator seminar berusia 35 hingga 51 tahun ditahan atas kesalahan mengajar agama tanpa tauliah.

Dalam satu risalah JAINJ, ajaran Hizbut Tahrir antara yang tersenarai sebagai ajaran sesat di Johor antara tahun 1979 hingga 2017.