Dua didakwa edar 5.6kg ganja

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123RF

GEORGE TOWN - Seorang lelaki dan seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja seberat 5.7 kilogram.

Muhammad Syakir Saiful Azhar, 35, dan Muliana Susanti Pahmi, 31, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret Nur Melati Diana Abd Wahab.

Iklan
Iklan

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis ganja seberat 5,700 gram di sebuah pangsapuri di Jalan Lembah Permai, Tanjung Bungah di sini pada 1 pagi, 30 Disember lepas.

Iklan

Selain itu, Muhammad Syakir turut didakwa mengedar dadah jenis heroin seberat 1,480 gram di lorong belakang pusat jualan Perodua, Jalan Sultan Azlan Shah, Gelugor pada 12.50 tengah hari, 29 Disember lepas.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Atikah Asharaf Ali manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Semalam, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan tiga individu termasuk sepasang kekasih dan merampas pelbagai jenis dadah seberat 7,180 gram bernilai RM36,162 dalam siri serbuan di sekitar Pulau Pinang, baru-baru ini. - Bernama