SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan delegasi dari Thailand diketuai oleh wakil Energy Absolute (EA) Malaysia Sdn Bhd, Somphote Ahunai yang juga terkenal dengan jolokan 'Elon Musk of Thailand’ pada Khamis.
Anwar berkata, syarikat EA yang mempunyai kekuatan modal pasaran sebanyak THB380 bilion bersamaan RM45 bilion ingin meneroka pasaran Malaysia berlandaskan prinsip-prinsip seperti mendukung, melabur dan mengangkat projek pemicu (pilot project).
Iklan
Iklan
"EA akan berkolaborasi dengan Computer Forms Malaysia Berhad (CFM) untuk membangunkan industri teknologi hijau,pemindahan teknologi kenderaan elektrik (EV) ke Malaysia serta membina kilang pembuatan dan bekalan EV.
"Khususnya dalam sektor pengangkutan seperti kenderaan elektrik antaranya bas, bas sekolah, bot, motosikal, bateri EV, kereta api, kereta mobil dan lain-lain dengan nilai RM5 billion," ujarnya melalui Facebook.
Tambah beliau, sebagai anggota Komuniti Ekonomi ASEAN, dengan budaya dan warisan hampir sama, kerjasama antara Malaysia dan Thailand terus kukuh dengan semangat kejiranan yang tinggi.