KUALA LUMPUR - Anak lelaki kepada Datuk SM Faisal SM Nasimuddin Kamal dan Emilia Hanafi akan menyambung keterangannya pada 13 Januari ini dalam perbicaraan kes ahli perniagaan terkenal yang didakwa menyebabkan kecederaan terhadap bekas isteri.
Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Zahida Zakaria berkata, hari ini pihak peguam telah menyoal balas saksi pendakwaan pertama itu yang mula memberi keterangan pada 14 Disember tahun lepas.
"Sebelum ini, remaja itu tidak dapat menyambung keterangannya kerana menduduki peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE). Pihak peguam akan menyambung soal balas saksi itu pada tarikh tersebut (13 Januari),” katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding perbicaraan kes di hadapan Majistret Nadia Othman.
Perbicaraan hari ini yang dijalankan secara tertutup bermula 11.15 pagi dan ditangguhkan pada 4 petang itu, turut dihadiri TPR Nur Aishah Ahmad Zakiuddin.
Sementara itu, peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili SM Faisal semasa ditemui media mengesahkan perkara itu.
SM Faisal, 44, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Emilia, 43, yang ketika kejadian merupakan isterinya di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas, Brickfields di sini antara 12.30 tengah hari dan 4.30 petang pada 22 November 2015.
Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Bernama