KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) Sabah menyatakan bahawa mereka tidak memberikan sebarang akuan bersumpah untuk menyokong mana-mana pihak selepas tahun 2020.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh tujuh ADUN PH Sabah iaitu ADUN Api-Api, Datuk Christina Liew; ADUN Tanjung Papat, Datuk Fung Ming Poon; ADUN Kadamaian, Datuk Ewon Benedick; ADUN Luyang, Phoong Jin Zhe; ADUN Kepayan, Jannie Lasimbang; ADUN Likas, Tan Lee Fatt dan ADUN Inanam, Peto Galim.
Iklan
Iklan
Dari kiri; Peto Galim, Phoong Jin Zhe dan Tan Lee Fatt.
"Kami ingin memaklumkan tidak memberikan akuan bersumpah menyokong mana-mana pihak selepas tahun 2020. Jika ada pihak yang mendakwa mendapat sokongan daripada kami, maka ia tidak benar melainkan kenyataan terakhir kami selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang terakhir pada November 2022 yang lepas," kata kenyataan itu.
Kenyataan itu turut menyatakan pendirian dan keputusan secara 'en-bloc' untuk memastikan kestabilan politik Sabah dibina agar tadbir urus pembangunan dan perkhidmatan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan lancar.
"Kami berpendirian tidak mahu menyokong kerajaan yang dibentuk melalui pintu belakang," katanya.
Sebelum itu, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) melalui kenyataan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Masidi Manjun mendakwa bahawa Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor telah menerima perakuan dan sokongan daripada majoriti besar ADUN Sabah untuk terus memimpin kerajaan negeri yang ada sekarang.
Dakwaan itu termasuk sokongan daripada kesemua tujuh ADUN Pakatan Harapan (PH) Sabah.
Artikel Berkaitan