[VIDEO] Isu tiket AFF: Tempahan konsert di stadium dibuat sejak 2019

Iklan
HANNAH YEOH - Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) merungkai amarah peminat bola sepak yang mempersoalkan penggunaan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) untuk konsert sehingga terpaksa mengorbankan 21,000 tempat duduk penonton menjelang sepak mula separuh akhir Piala AFF pada Sabtu.

Menterinya, Hannah Yeoh memberitahu, tempahan penggunaan stadium untuk konsert artis Taiwan, Jay Chou sudah dibuat kira-kira empat tahun lalu.

Iklan
Iklan

Tempahan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk kejohanan Piala AFF 2022 pula dibuat pada 18 Ogos lalu.

"Tempahan stadium untuk konsert Jelajah Dunia Jay Chou dibuat pada 13 Mac 2019, manakala AFF 2022 oleh FAM dibuat 18 Ogos 2022," ciap Hannah di Twitter pada Khamis.

Iklan

Malaysia akan menentang juara bertahan, Thailand dalam aksi separuh akhir pertama Piala AFF pada Sabtu bermula jam 8.30 malam.

Hannah menjelaskan persiapan untuk konsert tersebut memerlukan masa sehingga 14 hari melibatkan pemasangan pentas, ratusan krew serta penggunaan jentera berat.

Iklan

"Konsert perlu 14 hari pasang pentas oleh 500 krew dan 185 krew antarabangsa. Penggunaan 45 jentera berat, 200 speaker dan 800 lampu.

"Mereka (penganjur) sudah tunda 2.5 hari bagi ruang AFF," katanya.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman pada Rabu memaklumkan sebanyak 59,000 tiket dijual, manakala 21,000 tempat duduk terpaksa dikosongkan kerana dihalang oleh struktur konsert yang dalam proses pemasangan.

Tindakan itu mencetuskan amarah para peminat yang kecewa kerana gagal mendapatkan tiket untuk menyaksikan perlawanan separuh akhir tersebut biarpun kapasiti stadium boleh menampung hampir 80,000 penonton.

Noor Azman menjelaskan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) sudah mencari jalan terbaik bagi mengatasi masalah tersebut, namun situasi itu tidak dapat

dielakkan.