SHAH ALAM - Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya menyelesaikan isu kekurangan katil di wad biasa Hospital Kajang.
Menurut beliau, perkara tersebut disuarakannya selepas melawat seorang guru di hospital berkenaan.
"Saya berkesempatan menziarahi Ustaz Hasmadi Hamdan, guru Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Reko, Bangi.
"Dia telah ditempatkan di wad kecemasan semenjak jam 7 pagi semalam (Rabu) kerana Hospital Kajang tidak mempunyai katil yang cukup untuk para pesakit.
"Bersama dia ialah lebih dari 20 pesakit lain yang juga sedang menantikan katil di wad biasa.
"Harap KKM dapat melakukan sesuatu untuk memperbaiki keadaan di Hospital Kajang demi rakyat Kajang dan sekitarnya,” kata beliau dalam satu hantaran di Facebook.
Sebelum ini, KKM dilaporkan akan memperkukuh segala inisiatif yang telah dilaksanakan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang seperti penyediaan wad bagi pesakit stabil.
Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, ia bertujuan bagi memastikan pesakit yang dirawat di hospital tersebut mendapat keselesaan.