PUTRAJAYA - Pertubuhan Aspirasi Wanita Malaysia (ASWA) berharap usaha menggubal Akta Anti Buli akan mendapat perhatian kerajaan dan tindakan segera dilakukan bagi membentuk undang-undang melindungi mangsa.
Pengerusinya, Wan Azliana Wan Adnan berkata, negara sehingga ini masih belum mempunyai sebarang peruntukan khusus berhubung perbuatan buli atau akta yang boleh melindungi mangsa akibat dianiaya dalam kes seumpama itu.
Menurutnya, Akta Anti Buli telah lama dilaksanakan di Amerika Syarikat sejak 90-an dan negara jiran, Filipina telah menggubal akta seumpamanya pada 2013.
Menyedari kepentingan akta tersebut katanya, ASWA telah menjalankan kempen berhubung isu buli sejak Mei lalu dan menggerakkan usaha bertemu ahli Parlimen supaya Akta Anti Buli dapat digubal.
"Adakah buli ini satu jenayah? Ia masih bukan satu jenayah kerana tidak ada akta berkenaan dengan anti buli, namun buli membawa kepada budaya samseng atau gangsterism kerana pembuli bergerak dalam kumpulan.
"ASWA telah memberi cadangan kepada pihak berkuasa berhubung usaha penggubalan Akta Anti Buli demi memberi keadilan kepada mangsa sewajarnya.
"Untuk menggubal Akta Anti Buli, ia memerlukan 'political will' dan sokongan penuh daripada semua pihak kerana ia merupakan isu yang perlu merentas sempadan politik," katanya pada Khamis.
Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara ASWA dan Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) berhubung kerjasama penyelidikan serta usaha penggubalan Akta Anti Buli.
Hadir sama Naib Canselor Unisza, Prof Dr Fadzli Adam; Pendaftar Unisza, Ismail Musa dan Penolong Setiausaha ASWA, Dr Noor Azliza Zainal Abidin.
Mengulas lanjut, Wan Azliana berkata, istilah buli pada masa ini bukan sahaja merujuk kepada perbuatan membuli dalam kalangan pelajar sekolah dan institut pengajian tinggi, malah ia meliputi satu ruang lingkup yang sangat luas.
Menurutnya, buli bukan sahaja melibatkan fizikal tetapi membabitkan mental termasuk perbuatan buli siber dan gangguan seksual juga boleh ditakrifkan sebagai perbuatan buli.
Sehubungan itu katanya, kerjasama ASWA bersama Unisza adalah satu usaha menggerakkan penggubalan Akta Anti Buli di negara ini, sekali gus memberi keadilan sewajarnya kepada mangsa.
Jelasnya, kerjasama itu termasuk melakukan draf penggubalan akta yang dilihat sangat penting untuk dibawa ke peringkat Parlimen.
Selain mengadakan kerjasama dengan Unisza katanya, ASWA juga telah menubuhkan sekretariat untuk memantapkan usaha menggubal Akta Anti Buli dengan melibatkan kumpulan pakar, ibu bapa dan mangsa buli.
Malah katanya, pada 31 Mei lalu, ASWA juga telah menulis surat kepada 221 Ahli Parlimen untuk bertemu dan mengadakan perbincangan, namun hanya beberapa Ahli Parlimen yang memberi maklum balas.
"Isu buli perlu mendapat sokongan semua pihak supaya perbuatan ganas ini dapat dibanteras dan tidak lagi menjadi budaya di dalam masyarakat," katanya.