KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT) pada Khamis membincangkan perjalanan Perhimpunan Agung UMNO (PAU2022) yang akan berlangung pada 11 Januari depan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil berkata, bagaimanapun soal pemilihan pimpinan parti dan jemputan parti daripada Kerajaan Perpaduan dalam PAU2022 itu tidak dibangkitkan dalam mesyuarat tersebut.
"Kita tidak ada bincang (soal pemilihan pimpinan parti). Macam tadi kita ada tengok sebanyak 2,838 perwakilan kali ini, ada tambahan 182 prwakilan.
"Setakat tadi, tidak ada buat apa-apa keputusan tentang jemputan parti (Pakatan Harapan (PH)).
"Setakat ini, kita jemput parti kita macam biasa setiap tahun," katanya ketika ditemubual oleh petugas media di lobi Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Khamis.
Ujar Isham, tidak banyak perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat MKT UMNO kali ini selain PAU2022.
"Sebab UMNO ini setiap tahun akan adakan PAU, dan kali ini perhimpunan kali pertama Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tempoh hari.
"Jadi kita bincang macam mana perjalanan PAU2022 itu," menurutnya.
PAU2022 akan bermula pada 11 hingga 14 Januari depan bertempat di WTC.
Pada Selasa, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pemilihan UMNO belum dibincangkan buat masa ini.
Bagaimanapun ujarnya, perkara itu boleh dibincangkan dalam Mesyuarat Bulanan MKT UMNO pada Khamis.