Tegas isu keselamatan Menara Merdeka 118, jaga imej negara

Iklan
Laporan Sinar Harian pada 28 Disember lalu.

SHAH ALAM - Aspek keselamatan melibatkan bangunan Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur mula dipertikaikan oleh netizen terutamanya rakyat Malaysia dalam platform media sosial baru-baru ini.

Ia susulan tindakan berani daripada pasangan warga Rusia, Ivan Beerkus dan Angela Nikolau yang didakwa menceroboh dan memanjat puncak bangunan kedua tertinggi di dunia itu pada Disember tahun lalu.

Iklan
Iklan

Tambahan pula, gambar aksi pasangan terbabit itu juga dimuat naik di laman sesawang SkyscraperCity.com.

Rata-rata masyarakat mempersoalkan bagaimana pihak bertanggungjawab cuai dalam melaksanakan tugas mengawal bangunan itu sehingga ia berjaya dilepasi oleh individu-individu tertentu.

Iklan

Tidak cukup dengan itu, Angela melalui Twitternya pada Khamis turut mendedahkan bagaimana dia berjaya menceroboh Menara Merdeka 118 untuk memanjat puncak menara berkenaan.

Ujarnya, dia berjaya menceroboh menara itu dengan cara menyamar sebagai salah seorang pekerja kontraktor.

Iklan

Jelasnya, dia memulakan misi menceroboh itu dengan memakai topeng muka, tudung, cermin mata dan uniform pekerja bangunan untuk menyamar.

Tindakan itu jelas mendapat reaksi balas negatif serta kecaman daripada kalangan pengguna akaun Twitter khususnya rakyat negara ini.

Apa yang dinantikan oleh rakyat sudah pastinya tindakan yang bakal dikenakan oleh kerajaan berhubung perbuatan itu.

Pada Khamis, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mahu mendapatkan laporan penuh berhubung tindakan dua warga Rusia yang didakwa menceroboh Menara Merdeka 118 sebelum berkongsi maklumat mengenainya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya memaklumkan bahawa polis bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengenal pasti pemilik akaun media sosial yang memuat naik hantaran mengenai pencerobohan Menara Merdeka 118 itu.

Menurut Noor Dellhan, laporan mengenai butiran itu sedang dalam tindakan pihak SKMM.

Katanya, hantaran di media sosial itu perlu disahkan terlebih dahulu sama ada ia milik pasangan warga Rusia yang mendakwa memanjat menara terbabit.

Bagaimanapun, kerajaan dan pihak berkuasa perlu bertegas mengenai isu tersebut kerana pencerobohan terhadap bangunan kedua tertinggi di dunia itu dibimbangi memberi imej negatif terhadap aspek keselamatan negara.

Tindakan undang-undang perlu dilaksanakan dengan sewajarnya supaya ia memberi pengajaran kepada orang lain untuk tidak mengulangi perbuatan yang sama.

Sudah cukup sikap toleransi dan bertolak ansur yang ditunjukkan oleh negara kita.

Kini, apa yang rakyat mahu lihat adalah kesaksamaan pimpinan kerajaan dalam melindungi imej negara kita daripada tercemar.