KELAB Manchester City meraih tiga mata berharga untuk merapatkan jurang mata dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal.
Kemenangan bermakna itu diraih The Citizens selepas menewaskan Chelsea 1-0 di Stamford Bridge pada Jumaat.
City beraksi hambar pada babak pertama, namun lebih menyerlah selepas rehat dengan gandingan pemain gantian, Jack Grealish dan Riyad Mahrez.
Kemasukan mereka membuahkan hasil apabila Mahrez meledak gol tunggal pada minit ke-63.
The Blues yang dibimbing Graham Potter mendominasi perlawanan sepanjang 45 minit pertama, namun City ampuh bertahan.
Pengurus City, Pep Guardiola mengakui mereka jauh lebih baik pada babak kedua.
"City bergelut pada babak pertama. Kami leka, perlahan dan tanpa tempo, namun di babak kedua jauh lebih baik. Tiga mata ini sangat penting.
"Kami akan terus berusaha. Selepas ini Piala FA, Piala Liga dan kemudiannya Old Trafford," ujar Guardiola.
Menerusi kemenangan itu, The Citizens mengumpul 39 mata untuk menghuni tangga kedua ketinggalan lima mata dengan pendahulu, Arsenal.
Chelsea sekali lagi berdepan City dalam aksi pusingan ketiga Piala FA di Etihad pada awal pagi Isnin.