IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak membongkar kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi menggunakan lori tangki bekalan minyak sawit pada Khamis.
Kejayaan itu hasil serbuan di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Silibin dekat sini melibatkan rampasan lebih RM700,000.
Pengarah KPDN Perak, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, operasi sekitar jam 1 petang itu turut menahan lima pekerja dengan tiga daripadanya warga asing bagi membantu siasatan.
Menurutnya, hasil risikan mendapati, sindiket berkenaan menggunakan modus operandi yang lebih unik iaitu menggunakan lori tangki bekalan minyak sawit untuk membawa minyak diesel.
"Kita dapati mereka melakukan pengisian diesel secara kerap dan berulang-ulang menggunakan sebuah kepala motolori (prime mover) di stesen minyak sekitar Silibin bagi mengaburi pihak berkuasa.
"Kepala motolori ini kemudiannya akan ke lokasi pengumpulan dan memindahkan minyak diesel dari tangki lori tersebut ke sebuah tangki simpanan lain menggunakan pam elektrik sebelum dipindahkan semula ke sebuah tangki khas 'bekalan minyak sawit' untuk dihantar dan dijual ke pihak industri di Lembah Klang," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas premis mengesan sebanyak 6,490 liter cecair disyaki minyak diesel, empat kepala motolori dan beberapa peralatan lain digunakan bagi menjalankan aktiviti berkenaan.
Katanya, siasatan ke atas premis juga mendapati premis itu telah beroperasi selama sebulan dan tanpa lesen yang sah oleh pihak berkuasa.
"Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM762,615 dan ini adalah kejayaan kedua pada bulan ini bagi KPDN Perak dalam membanteras penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi.
"Semua rangkaian sindiket, pemilik kenderaan, pemilik premis dan stesen minyak yang terlibat akan disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.