BAYERN Munich berbesar hati menerima kehadiran pertahanan Belanda, Daley Blind menerusi perpindahan percuma dengan kontrak selama enam bulan.
Pengesahan penghijrahan itu dibuat oleh kelab Bundesliga tersebut pada Jumaat.
Pemain berusia 32 tahun itu menjadi ejen bebas minggu lepas selepas mencapai persetujuan menamatkan kontraknya dengan Ajax Amsterdam enam bulan lebih awal.
"Kami berbesar hati Daley (Blind) menyertai kami,” ujar pengarah sukan Bayern, Hasan Salihamidzic.
"Daley pertahanan serba boleh yang mampu beraksi di bahagian kiri, kanan dan tengah. Dia mempunyai pengalaman luas di peringkat antarabangsa selain memiliki kualiti kepimpinan,” ujar Salihamidzic.
"Saya tidak sabar lagi untuk beraksi di sini. Kami akan mengharungi tempoh paling penting musim ini, ia boleh menjadi penentu kejuaraan dan kelab seperti Bayern mampu memenangi segala trofi.
"Kelab yang dahagakan gelaran ini merupakan kunci dalam keputusan saya. Saya harap mampu menggunakan pengalaman yang ada bagi membantu pasukan. Saya akan mencurahkan segala-galanya buat Bayern,” ujar Blind.
Blind yang membantu Belanda mara ke suku akhir Piala Dunia di Qatar tahun lalu meraih tujuh gelaran bersama Ajax, membuat 333 penampilan, menjaringkan 13 gol dan mencipta 21 bantuan jaringan.
Dia turut menjuarai Liga Europa 2017 ketika beraksi dengan kelab Liga Perdana Inggeris, Manchester United.
Juara Jerman, Bayern yang mendahului carta Bundesliga meneruskan kempen mereka dengan menentang RB Leipzig pada 20 Januari.