Kesemua mereka ditangkap ketika sedang leka menangkap ikan kira-kira 70 batu nautika timur dari Kuantan lebih kurang jam 5 petang semalam.
Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Pahang, Kepten Maritim V Pannir Selvan Veloo berkata, kapal ronda Maritim mengesan kehadiran tiga buah bot asing itu ketika sedang melakukan rondaan.
"Bagaimanapun ketika sebuah bot sedang diperiksa, dua buah bot cuba lari dengan memotong pukat tetapi dua bot tersebut berjaya dikejar dan dipintas sebelum ditahan.
"Ini adalah tangkapan paling besar yang berjaya kita lakukan pada tahun ini," katanya pada sidang media di jeti Zon Maritim Kemaman di Bukit Kuang di sini.
Pannir berkata, hasil pemeriksaan mendapati kesemua tekong dan awak-awak berumur lingkungan 18 hingga 60 tahun yang ditahan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
"Hasil pemeriksaan kita turut mendapati kesemua bot itu membawa ikan campur dan sotong yang dianggarkan melebihi dua tan.
"Dengan penahanan ini, keseluruhan hasil rampasan termasuk ketiga-tiga bot dan peralatan menangkap ikan dianggarkan bernilai hampir RM3 juta," katanya.
Beliau berkata, kesemua bot dan nelayan itu kini ditahan di Zon Maritim Kemaman untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh perairan negara.
Jika disabitkan kesalahan ketiga-tiga tekong akan dikenakan denda tidak lebih RM1 juta setiap seorang, penjara tidak melebihi tiga tahun manakala awak-awak boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 setiap seorang atau penjara tidak lebih dua tahun.
Sementara itu, Pannir berkata, pihaknya telah melakukan sebanyak 344 pemeriksaan dan 18 tangkapan dibuat di mana 17 kes daripadanya melibatkan pencerobohan nelayan asing.
"Sekarang merupakan musim menangkap sotong, jadi kita jangkakan trend pencerobohan nelayan asing ini akan terus menunjukkan peningkatan. Lebih banyak lagi bot-bot besar dari negara jiran ini dijangka akan masuk ke perairan negara.
"Sebab itu kita tingkatkan rondaan bagi mengekang pencerobohan nelayan asing ini secara berleluasa dan supaya mereka serik," katanya.