KWSP, Petronas organisasi paling dipercayai rakyat Malaysia

Iklan
KWSP dan Petronas menjadi organisasi dan institusi tabung amanah yang paling dipercayai rakyat Malaysia pada tahun 2022.

SHAH ALAM - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menjadi organisasi dan institusi tabung amanah yang paling dipercayai rakyat Malaysia pada tahun 2022.

Berdasarkan kajian terbaharu oleh Firma Penyelidikan Pasaran Ipsos Sdn Bhd (Ipsos), KWSP meraih 76 mata dalam indeks kepercayaan, manakala Petronas 72 mata.

Iklan
Iklan

Pengarah Bersekutunya, Lars Erik Lie berkata, tahun 2022 menyaksikan pandemik yang melanda dunia sebelum ini semakin kurang membimbangkan orang ramai.

"Kerisauan tersebut kini beralih kepada isu inflasi, kos sara hidup dan kenaikan kadar faedah yang menyebabkan peralihan kepada fasa pasca pandemik berlangsung dalam keadaan kurang lancar daripada jangkaan dan harapan pada peringkat permulaan.

Iklan

"Bagaimanapun, di tengah-tengah ketidaktentuan ini, tahap kepercayaan penduduk Malaysia terhadap syarikat dan institusi didapati kekal teguh pada 2022.

Lima organisasi teratas yang paling dipercayai rakyat Malaysia bagi tahun 2022.

"Sama seperti tahun sebelumnya, tahap kepercayaan kepada syarikat dan agensi-agensi pengawal selia secara khususnya kekal utuh, menyaksikan KWSP dan Petronas menduduki dua tangga teratas sebagai entiti yang paling dipercayai di Malaysia,” katanya menerusi laporan Ipsos pada Jumaat.

Iklan

Kajian sama menunjukkan Nestle, Laluan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Petron merupakan nama-nama baharu dalam lima kedudukan teratas bagi 2022.

Nestle dan PLUS berkongsi mata sama iaitu 71 mata, manakala 70 mata dicatatkan oleh Petron.

Ujar Erik Lie, pemansuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyaksikan orang ramai mula keluar berjalan, sekali gus menyumbang pada peningkatan tahap interaksi antara kumpulan pengguna dan jenama-jenama seperti Plus dan Petron.

Kajian Ipsos mendapati KWSP dan Petronas menjadi organisasi paling dipercayai rakyat Malaysia pada tahun 2022.

Sementara itu, jelasnya, syarikat yang menghasilkan barang pengguna cepat laris (FMCG) mencatatkan peningkatan kepercayaan dalam tempoh setahun yang lalu walaupun barangan pengguna mengalami kenaikan harga.

Tambahnya, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang mewarnai liputan media pada tahun lalu juga menyumbang kepada pengiktirafan orang ramai terhadap sektor media dengan mencatatkan lonjakan kepercayaan tertinggi pada 2022.

Kajian sama merekodkan tahap kepercayaan terhadap sektor kewangan adalah sederhana, meskipun ia mencatatkan peningkatan kecil berbanding 2021.

"Kenaikan kadar faedah berterusan yang berlarutan sehingga ke 2023 sama sekali tidak membantu situasi ini,” ujarnya.

Kajian kepercayaan Ipsos melibatkan 6,000 responden yang ditemu bual secara bersemuka mewakili seluruh pelusuk negara.