KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan meneruskan usaha membantu mangsa banjir dengan memperuntukkan sebanyak RM20,000 di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, peruntukan tersebut disalurkan melalui wakil-wakil rakyat di kawasan masing-masing dalam bentuk keperluan asas dan makanan.
"Peruntukan diberikan sebanyak RM20,000 diberikan bagi setiap DUN dan ada yang berbelanja lebih melalui tambahan sumbangan pihak lain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Penyerahan Kunci Rumah Dhuafa’ di Kampung Pak Kemek di sini pada Jumaat.
Rumah tiga bilik bernilai RM55,000 itu diberikan kepada pembuat kuih, Normahizatul Akmal Abd Rahim, 46, kerana rumah kayu pusaka berusia lebih 100 tahun yang menjadi tempat tinggal keluarganya sudah usang dan dimakan anai-anai.
Dalam perkembangan sama, Mohd Amar menjelaskan, bantuan kewangan kepada mangsa banjir yang berpindah ke pusat pemindahan sementara turut diuruskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
Pada Disember lalu, banjir di Kelantan menyebabkan lebih 39,000 mangsa dipindahkan ke PPS berikutan kediaman masing-masing ditenggelami air paling tinggi melebihi dua meter.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan Program Rumah Dhuafa’ oleh kerajaan negeri, ia sehingga kini berterusan dibina melalui 45 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Kelantan.
"Setiap tahun empat rumah akan diberikan kepada golongan asnaf di setiap DUN.
"Rumah dibina bernilai RM55,000 sebuah berbanding RM45,000 sebelum ini,” katanya.