KOTA BELUD - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick menyatakan bahawa ADUN Pakatan Harapan (PH) Sabah telah membuat ketetapan konsensus untuk tidak menyokong sebarang usaha menggulingkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau juga menyifatkan bahawa usaha untuk menggulingkan Hajiji itu dilakukan secara 'pintu belakang'.
"Ketua Menteri telah mengangkat sumpah selepas proses pilihan raya dan kerajaannya telah dibentuk. Sebelum ini ADUN-ADUN PH Sabah telah menyatakan sokongan agar Hajiji terus menjadi Ketua Menteri sehingga habis penggal ini.
"Kami kekal dengan pendirian ini kerana sebarang usaha menggulingkan beliau selepas mengangkat sumpah merupakan rundingan 'pintu belakang' yang sepatutnya tidak dilakukan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan program 'walkabout' di Tamu Mingguan Taginambur di Kadamaian Square pada Jumaat.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia berkata, usaha untuk menggulingkan Hajiji boleh merencatkan momentum yang sedang dibina bersama dengan Kerajaan Persekutuan.
Katanya lagi, kestabilan kepimpinan politik di Sabah penting bagi mengekalkan momentum pembangunan dan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
"Dengan kerjasama banyak pihak, Hajiji telah memastikan perolehan hasil Sabah lebih daripada enam billion pada tahun lepas. Ini penting supaya rakyat dapat menikmati kemakmuran ekonomi dan seterusnya pembangunan infrastruktur yang perlu diperkasakan dan dilipatgandakan dengan pendekatan reform tata kelola.
"Dalam masa sama, dengan tertubuhnya Kerajaan Perpaduan di Persekutuan, agenda untuk melaksanakan Perjanjian Malaysia merupakan antara keutamaan kerajaan berdasarkan kekerapan perbincangan Jemaah Menteri mengenainya termasuk pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kerajaan Sabah bagi melaksanakan perolehan terus projek-projek bernilai RM50 juta ke bawah," katanya.
Ahli Parlimen Penampang itu turut berkata, beliau juga telah membangkitkan mengenai pendekatan formula pemberian khas berdasarkan pungutan hasil persekutuan di Sabah.
"Saya dan rakan sejawat Datuk Armizan Mohd Ali sebagai Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak akan mengadakan pertemuan dengan peguam Sabah Law Society dan Pakatan Harapan (PH) dalam masa yang terdekat untuk membincang lebih lanjut mengenai formula ini.
"Kelmarin saya juga telah membincangkan perkara ini dengan Hajiji. Saya berpendirian momentum ini perlu dikekalkan dan tidak seharusnya digugat oleh sebarang cubaan menggulingkan beliau sebagai Ketua Menteri,” katanya.
Sebelum itu, timbul desas desus kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dipimpin Hajiji bakal digulingkan.
Spekulasi itu dikuatkan lagi selepas pengamal media di Sabah menerima satu jemputan sidang akhbar daripada parti Warisan pada petang Khamis, bagaimanapun ia akhirnya ditunda pada saat akhir tanpa sebarang perincian mengenai sidang akhbar itu.