GEORGETOWN - Pejabat Perikanan Negeri Pulau Pinang melalui Pangkalan Perlindungan Sumber Batu Maung telah menahan dan menyita empat vesel pukat tunda tempatan dengan anggaran nilai rampasan RM2.8 juta, termasuk hasil tangkapan 2.9 tan metrik ikan.
Pengarah Perikanan Negeri Pulau Pinang, Yazeereen A Bakar berkata, kesemua empat vesel pukat tunda tempatan itu ditahan dan disita semasa menjalankan rondaan dua hari berturut-turut di sekitar Perairan Negeri Pulau Pinang dan Perak.
"Pada 4 Januari lepas, dua vesel tunda Zon C yang berpangkalan di Kuala Kedah pada kedudukan 9.1 dan 9.8 batu nautika di Barat Mukahead, telah ditahan atas kesalahan beroperasi kurang dari 15 batu nautika dari pantai atau daratan terhampir.
"Kedua-dua vesel Zon C itu juga didapati menceroboh kawasan perairan negeri ini," katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini hari ini.
Tambahnya, pada rondaan 5 Januari pula, sebuah vesel pukat tunda Zon C yang berpangkalan di Bagan Panchor, Perak telah ditahan dan disita pada kedudukan 10.8 batu nautika dari Gertak Sanggul.
"Vesel itu juga didapati menggunakan kru asing seramai tiga orang warga Myanmar tanpa permit,” katanya.
Mengulas lanjut, Yazeereen berkat,a pada lewat petang 5 Januari pula, sebuah lagi vesel tunda Zon C yang berpangkalan di Kuala Kurau pada kedudukan 7.2 batu nautika dari Tanjung Piandang, Perak, juga ditahan dan disita kerana kesalahan beroperasi kurang dari 15 batu nautika dari daratan atau pantai terhampir.
"Vesel tersebut juga didapati menggunakan seramai empat kru warga Thailand tanpa permit. Kesemua warga asing yang ditahan dalam rondaan 5 Jan itu berumur dalam lingkungan 26 hingga 50 tahun," katanya.
Katanya, kesemua vesel yang ditahan turut disita di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985, iaitu melanggar apa-apa syarat dalam lesen yang dikeluarkan serta kesemua vesel dibawa ke Jeti LKIM Batu Maung bagi proses selanjutnya. - Bernama