HARIMAU Malaya perlu bermain rentak sendiri dan tidak terjerat dengan corak permainan Thailand sekiranya mahu melakar kemenangan besar dalam aksi separuh akhir pertama, Piala AFF di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu.
Pemain tengah Harimau Malaya, Brendan Gan berkata, skuad negara perlu mengawal tempo permainan seawal minit pertama perlawanan dan tidak membiarkan Thailand menguasai rentak.
"Sudah tentu kami mahu menang tidak kira siapa pun lawan kami. Corak permainan kami adalah menyerang dan jaringkan seberapa banyak gol yang boleh.
"Ia adalah perkara penting untuk kawal permainan dan bermain dengan cara kami sepanjang perlawanan," katanya dalam sidang akhbar pra perlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Jumaat.
Dalam pada itu, Brendan mengakui sukar untuk menjangkakan corak permainan skuad Gajah Perang itu kerana mereka mempunyai taktikal yang berbeza.
Malah, skuad kendalian Alexandre Polking itu juga dinilai mempunyai pemain dengan kemampuan individu yang baik.
"Sangat sukar untuk diperkatakan kerana setiap kali berdepan Thailand mereka mempunyai pemain baharu dan taktikal berbeza.
"Namun, saya mahu fokus kepada pasukan sendiri. Semua pemain teruja untuk memberikan yang terbaik untuk perlawanan separuh akhir ini," jelasnya.