ISLAMABAD - Kerajaan Taliban menandatangani kontrak selama 25 tahun dengan sebuah syarikat China untuk mengekstrak minyak dari lembangan Sungai Amu dan membangunkan rizab minyak di wilayah Sar-e Pul di Afghanistan.
Perjanjian pelaburan asing pertama sejak Taliban merampas kuasa di Kabul pada 2021 itu ditandatangani pada Khamis oleh pemangku Menteri Perlombongan dan Petroleum, Sheikh Shahabuddin Delawar dan pegawai Syarikat Minyak dan Gas Xinjiang Asia Tengah dalam satu majlis di Kabul, lapor Agensi Anadolu.
Pemangku Timbalan Perdana Menteri, Mullah Abdul Ghani Baradar Akhund dan Duta China ke Afghanistan, Wang Yu turut menyaksikan majlis memeterai perjanjian itu.
"Baru-baru ini, beberapa projek telah diluluskan oleh Suruhanjaya Ekonomi dan dengan usaha mereka, langkah asas akan diambil untuk kemakmuran negara dan kesejahteraan awam,” kata Baradar.
"Kami meminta syarikat itu meneruskan prosedur mengikut piawaian antarabangsa dan demi kepentingan rakyat Sar-e Pul (wilayah utara di Afghanistan),” katanya.
Sementara itu, Sheikh Shahabuddin Delawar berkata di bawah perjanjian berkenaan syarikat China itu akan mengekstrak minyak dari kawasan seluas 4,500 kilometer persegi di utara wilayah Sar-e-Pul, Jawzjan, dan Faryab.
"Lebih 3,000 penduduk tempatan akan mendapat pekerjaan hasil daripada projek ini,” katanya.
Delawar berkata 200 tan minyak akan diekstrak setiap hari dan kuantitinya akan meningkat secara berperingkat kepada 1,000 tan sehari.
Syarikat China itu melabur AS$150 juta pada tahun pertama dan meningkat kepada AS$540 juta dalam tempoh tiga tahun. - Bernama