PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan-gon menghormati Thailand sebagai antara pasukan terkuat menjelang perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF 2022 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu.
Menurutnya, kedudukan ranking dunia Thailand yang lebih baik selain status penyandang juara membuktikan keupayaan pasukan kendalian Alexandre Polking itu.
Namun, tegas Pan-gon, para pemainnya tidak gentar apatah lagi akan beraksi di hadapan penyokong sendiri yang akan memberikan kekuatan dan semangat kepada Harimau Malaya dalam perlawanan itu.
"Saya tidak mahu terlalu menilai pasukan lawan tetapi kita ada kelebihan dari segi penyokong. Sokongan penyokong seperti ditunjukkan pada perlawanan terakhir (menentang Singapura) sangat bagus. Kami akan gunakan kelebihan tersebut.
"Kita juga akan mengekalkan DNA serta karakter pemain untuk memberikan yang terbaik kepada penyokong Malaysia," katanya dalam sidang akhbar pra perlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Jumaat.
Dalam pada itu, Pan-gon juga sudah mempunyai taktikal untuk menghadapi skuad Gajah Perang itu berdasarkan analisis yang telah dilakukan barisan kejurulatihan.
Pengendali kelahiran Korea Selatan itu juga optimis para pemain cepat menyesuaikan diri dengan taktikal yang telah dirancang.
"Semua informasi daripada analisis tersebut akan diberikan kepada pemain. Saya rasa semua pemain begitu bijak, mereka boleh menyesuaikan diri dan pantas memahami taktikal yang mahu diterapkan.
"Saya sangat yakin dengan kemampuan pasukan walaupun Thailand pasukan yang berbeza daripada apa yang telah kita hadapi sebelum ini.
"Pemain juga teruja dan bermotivasi untuk bermain esok dan memberikan segala-galanya dalam perlawanan itu," katanya.