KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menyambut baik dan menghargai tawaran Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berhubung penggunaan Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor sebagai venue alternatif skuad Harimau Malaya.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) terbabit banyak memberi sumbangan terhadap industri sukan tanah air terutamanya bola sepak.
Iklan
Iklan
"Semestinya kita menyambut baik tweet (ciapan) TMJ (Tunku Ismail) (mengenai tawaran stadium) kerana TMJ banyak membantu KBS,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Al-Ikhsan Sports x The MESSI Brand di Republik Bola Sepak, Sunway Pyramid petang ini.
Semalam, Tunku Ismail telah menzahirkan tawaran itu sementara menunggu padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) siap diselenggara, sehari selepas meninjau sesi latihan skuad itu di padang Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya.
Stadium Nasional Bukit Jalil selaku gelanggang keramat skuad Harimau Malaya yang dipenuhi jadual padat pelbagai acara termasuk bola sepak akan ditutup sepenuhnya pada Mac ini bagi memberi laluan kepada proses penanaman rumput baharu jenis Zeon Zoysia.
Penanaman rumput Zeon Zoysia itu bagi menggantikan jenis Cow Grass sedia ada, disifatkan lebih sesuai dengan keadaan cuaca serta iklim di negara ini yang dianggarkan mencecah sehingga RM1.4 juta dan ditaja oleh Tunku Ismail. - Bernama