KOTA KINABALU - Sabah tidak memerlukan Ketua Menteri atau kerajaan baharu yang dipimpin oleh sesiapapun, kata Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu menyatakan kekesalannya berhubung tindakan beberapa pemimpin kanan dalam kabinet kerajaan GRS-Barisan Nasional (BN) yang cuba menjatuhkan kedudukan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri.
Beliau menyifatkan cubaan menggulingkan Hajiji pada Khamis sebagai suatu perbuatan yang menjejaskan imej sendiri jika dilihat dari segi pengalaman dan kematangan berpolitik.
"Bagaimanapun, pengalaman dan kematangan mereka itu jauh tersasar. Pada masa ini, negeri Sabah tidak memerlukan Ketua Menteri baharu atau kerajaan baharu yang dipimpin oleh siapa-siapa.
Tambah Pandikar lagi, Hajiji adalah merupakan individu yang layak memegang jawatan sebagai ketua kerajaan berdasarkan pengalaman beliau yang amat luas dalam pentadbiran dan sebagai wakil rakyat.
"Sebagai individu dalam dunia politik pula, Hajiji seorang yang mempunyai sikap inklusif, iaitu tidak suka bermusuhan, mengaibkan, menunjuk-nunjuk kelebihan diri atau memandai-mandai kerana beliau memberikan keutamaan kepada keseluruhan atau sama rata.
"Tetapi sebagai analogi, walaupun seorang 'nakhoda' itu sarat dengan ilmu pelayaran dan sebagainya, bahtera yang dinakhodai oleh beliau tidak akan selamat sampai ke destinasi jika petugas-petugas lain tidak membantu nakhoda mereka, tetapi disebaliknya merampas kuasanya sebagai nakhoda," katanya.
Bekas Speaker Dewan Rakyat itu turut berkata, sejak merdeka, Sabah telah diterajui oleh individu dari pelbagai parti politik.
"Namun sehingga kini, keadaan ekonomi dan politik Sabah masih belum boleh dibanggakan walaupun kebanyakan pemimpin yang memimpin dulu dan sekarang sarat dengan pengalaman pentadbiran dan mempunyai pelbagai kemahiran masing-masing selain berpendidikan tinggi.
"Kegagalan ini adalah disebabkan oleh tabiat 'jatuh-menjatuhkan' kerajaan yang berakhir juga dengan keadaan yang serupa seperti sebelumnya," katanya.
Sehubungan itu, Pandikar berkata, pemimpin berkenaan sepatutnya membantu Hajiji untuk melaksanakan tanggungjawab serta memberikan tumpuan khusus kepada kestabilan kerajaan Sabah.
"Menggulingkan Ketua Menteri dan menjadikan Parti Warisan sebagai tulang belakang peneraju kerajaan Sabah semata-mata untuk mendapatkan beberapa portfolio yang diidamkan adalah suatu tindakan yang kurang bijaksana dan sayaanggap ia sebagai pengalaman sarat yang jauh tersasar.
"USNO tidak akan mencurahkan air setitik di dalam tempayan, walau terdengar gegak gempita guruh di langit," katanya.