Agong titah tangguh kelulusan projek tanah tinggi

Iklan
Al-Sultan Abdullah

CAMERON HIGHLANDS - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar semua kelulusan projek pembangunan di tanah tinggi di Cameron Highlands dikaji semula dan ditangguhkan sekiranya mengundang risiko besar.

Seri Paduka bertitah, perhatian serius perlu diberikan terhadap projek-projek seumpama itu kerana dibimbangi menjadi faktor berlakunya bencana alam seperti tragedi runtuhan tanah di Batang Kali, Selangor yang mengorbankan 31 nyawa bulan lalu.

Iklan
Iklan

Baginda bertitah, pada masa ini, banyak projek baharu terutama pertanian dan penternakan dikesan dijalankan di kawasan bukit dan tanah tinggi hingga menimbulkan kemusykilan sama ada dilakukan secara sah atau tanpa kelulusan.

"Buat kajian semula dan kalau perlu ditangguhkan semua kelulusan (projek) di bukit-bukit yang tinggi di kawasan daerah Cameron Highlands buat sementara ini.

Iklan

"Ini saranan saya, ini titah saya. Enough is enough. Saya dah cakap dulu dan sekarang tidak perlu ada lagi illegal cultivation, walaupun ada, kelulusan perlu dikaji semula. Kalau tidak mungkin kawasan ini akan jadi kawasan botak," titah baginda.

Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat mendengar taklimat solusi banjir lumpur Kampung Baru, Kampung Raja pada Jumaat.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian selepas mendengar taklimat solusi banjir lumpur Kampung Baru, Kampung Raja dekat sini disampaikan Pegawai Daerah dan Tanah Cameron Highlands, Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman pada Jumaat.

Iklan

Dalam titah berkenaan, Seri Paduka turut menasihatkan pihak berkuasa negeri agar berhati-hati dalam memberi kelulusan terhadap satu-satu projek, bukannya sekadar melihat kepada peta semata-mata.

Titah baginda, baik menteri besar mahupun pegawai daerah dan tanah perlu turun padang melakukan tinjauan dan menggunakan segala teknologi moden yang ada bagi mendapatkan penilaian terbaik sebelum kelulusan diberikan.

"Jangan sekadar beri kelulusan tanpa melihat mana bukit, mana tanah, ada ke anak-anak sungai dan mata air.

"Kalau duduk di pejabat daerah tak nampak mata air di Kampung Raja ataupun di Kampung Terlak. Kena turun padang, kena lihat sendiri. Jangan berdasar kepada peta saja," titah baginda.

Al-Sultan Abdullah berkenan mengurniakan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Baru, Kampung Raja pada Jumaat.

Banjir lumpur dilapor melanda Kampung Baru, Kampung Raja sebanyak empat kali sejak Ogos tahun lalu hingga mengakibatkan kerosakan harta benda dan kerugian ratusan ribu ringgit.

Kejadian terbaru berlaku pada 4 Januari lepas, namun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Penduduk mendakwa, antara punca kejadian itu disebabkan projek pembukaan semula kawasan ladang sayur di kawasan tanah tinggi berdekatan kawasan penempatan penduduk.

Al-Sultan Abdullah yang menzahirkan rasa simpati dengan nasib penduduk terlibat telah berkenan mengurniakan sumbangan peribadi.

Sumbangan disampaikan kepada 21 keluarga yang terkesan teruk dalam kejadian banjir lumpur pada Disember lepas.