Warga emas hilang sejak Selasa ditemukan lemah

Iklan
Anggota bomba membawa keluar mangsa dengan menggunakan pengusung selepas ditemui dalam keadaan lemah di kaki Bukit Naga, Trong, Taiping. Foto:Ihsan JBPM Perak

TAIPING - Seorang warga emas yang dilaporkan hilang sejak tiga hari lalu ditemukan dalam keadaan lemah di kawasan hutan, kaki Bukit Naga, Trong di sini pada Jumaat.

Difahamkan, kehilangan lelaki berusia 62 tahun itu disedari sekitar jam 6 pagi pada Selasa dan mangsa dipercayai hilang di kawasan rumahnya di Kampung Jawa dekat sini.

Iklan
Iklan

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Rafeel Hairul Richard berkata, laporan kehilangan mangsa diterima daripada polis sekitar jam 2 petang dan operasi mencari terus diaktifkan.

"Operasi dibahagikan kepada lima pasukan melibatkan pencarian sekitar satu kilometer dari rumahnya.

Iklan

"Seramai 12 anggota bomba, 15 anggota polis dan 60 penduduk kampung terlibat dalam pencarian itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Warga emas yang dilaporkan hilang sejak Selasa ditemukan selamat oleh pasukan mencari di Trong, Taiping. Foto Ihsan JBPM Perak.

Menurutnya, mangsa ditemui pasukan penyelamat sekitar jam 5.55 petang kira-kira tiga kilometer dari rumahnya.

Iklan

"Mangsa ditemui dalam keadaan lemah di kawasan hutan. Anggota meredah hutan sejauh 500 meter untuk mendapatkan mangsa.

"Mangsa kemudiannya dibawa keluar menggunakan pengusung dan diserahkan kepada pihak kesihatan untuk tindakan selanjutnya," jelas beliau.