PENYOKONG bola sepak tanah air yang tidak dapat membeli tiket bagi aksi Harimau Malaya menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok, akan dapat menyaksikan tayangan perlawanan itu di 14 skrin besar yang disediakan di seluruh negara.
Antara lokasi skrin besar yang akan menayangkan aksi separuh akhir pertama Piala AFF itu termasuklah Dataran Merdeka di sini; Perbadanan Putrajaya, Presint 3 Putrajaya; Kompleks Belia dan Sukan Paroi, di Negeri Sembilan; dan Padang Merdeka, Kota Kinabalu, Sabah.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, kementerian berkenaan bersama Kementerian Perpaduan Negara, mengambil usaha itu bagi memastikan rakyat menikmati aksi tersebut.
Malaysia mara ke separuh akhir sebagai naib juara Kumpulan B dengan sembilan mata, selepas menewaskan Singapura 4-1 pada Selasa, dengan Vietnam muncul selakujuara kumpulan.
Selepas separuh akhir pertama di Bukit Jalil, skuad Harimau Malaya akan berlepas ke Thailand untuk aksi timbal balik di Stadium Thammasat, Pathum Thani yang terletak di utara Bangkok, pada 10 Jan.
Sekiranya berjaya menjinakkan pasukan Thailand yang merangkul enam gelaran Piala AFF, skuad Harimau Malaya akan bertemu pemenang satu lagi aksi separuh akhir antara Vietnam dan Indonesia di pentas final pada 13 dan 16 Jan ini.
Kesemua 59,000 tiket bagi aksi esok telah habis dijual secara dalam talian dalam tempoh kurang 24 jam. - Bernama
Senarai 14 lokasi tayangan besar:
1. Dataran Merdeka, Kuala Lumpur
2. Perbadanan Putrajaya, Presint 3, Putrajaya
3. Kompleks Belia & Sukan Batu Uban, Pulau Pinang
4. Meow Garden, Ulu Kinta, Perak
5. Laman MBPJ, Petaling Jaya, Selangor
6. Dataran Kemerdekaan, Shah Alam
7. Perkarangan Majlis Perbandaran Sepang
8. Dataran Stadium Kajang
9. Dataran Tanah Lesen, Sungai Air Tawar, Sabak Bernam
10. Kompleks Belia & Sukan Paroi, Negeri Sembilan
11. Restoran Al Marjan MITC, Ayer Keroh, Melaka
12. Dewan Bandaraya Kuantan, Pahang
13. Mydin Petrajaya, Kuching, Sarawak
14. Padang Merdeka, Kota Kinabalu, Sabah