Vietnam buntu berdepan Indonesia di Jakarta

Iklan
Pemain Indonesia, Marselino Ferdinan (tengah) menentang pemain Vietnam, Hoang Duc (kanan) semasa aksi separuh akhir pertama Piala AFF 2022 di Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta. Foto EPA

JUARA dua kali Vietnam buntu dalam misi menghasilkan gol selepas seri tanpa jaringan pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 berdepan Indonesia, di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, malam ini.

Pada pertembungan itu, skuad Garuda dengan sokongan padu puluhan ribu penyokong tempatan berjaya memberikan saingan kepada pasukan bimbingan Park Hang Seo, dengan kedua-duanya saling melakukan serangan.

Iklan
Iklan

Setelah beberapa kali mencuba, Indonesia hampir mengejutkan Vietnam pada minit ke-36, namun tindakan cemerlang penjaga gol Dang Van Lam berjaya menyelamatkan dua percubaan berturut-turut, bermula daripada rembatan kaki kanan Marselino Ferdinan dan tandukan Yakob Sayuri.

Skuad Golden Star Warriors kemudian bangkit mengasak kubu Indonesia sebelum Doan Van Hau terlepas peluang meletakkan Vietnam di depan apabila rembatannya diselamatkan penjaga gol lawan Nadeo Argawinata pada minit ke-41.

Iklan

Kedua-dua pasukan terus gagal memecah kebuntuan biarpun beberapa pertukaran pemain dibuat pada separuh masa kedua.

Berbaki 15 minit permainan, Vietnam yang semakin terdesak mencari gol terlepas peluang terbaik apabila percubaan pemain gantian Ho Tan Tai yang menerima umpanan Nguyen Quang Hai sedikit tersasar ke kanan gawang pada minit ke-78.

Iklan

Kedudukan tanpa jaringan itu kekal sehingga wisel penamat dibunyikan pengadil.

Indonesia yang dibimbing Shin Tae Yong akan bertandang ke Hanoi bagi aksi timbal balik di Stadium Nasional My Dinh pada Isnin depan.

Sementara itu, Malaysia bakal menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok dalam satu lagi perlawanan separuh akhir pertama. - Bernama