SHAH ALAM -"Suara rayuan, jeritan penduduk meminta pertolongan dan tangisan kanak-kanak dalam tragedi banjir di Taman Sri Muda, cukup menginsafkan dan menyedihkan,” kata Timbalan Pengerusi Bomba Sukarela Taman Sri Serdang (BSTSS), Mohammad Firdaus Babh.
Bagi dirinya, peristiwa yang berlaku di Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor pada 18 Disember 2021, telah meninggalkan kesan yang tidak akan dapat dilupakan seumur hidup.
Pada hari tersebut, katanya, hujan turun begitu lebat dan aplikasi kumpulan WhatsApp pasukan Bomba Sukarela Selangor (BBS) mula 'bising' apabila ramai anggota Bomba Sukarela diperlukan dalam misi bantuan untuk pemindahan mangsa banjir di Klang, pada jam 3 petang.
"Pasukan bomba sukarela dari taman kami telah menghantar hampir 10 anggota untuk membantu operasi tersebut,” katanya.
Mohammad Firdaus kemudian bersama rakan setugas lain pula bergegas untuk membantu memindahkan mangsa banjir yang terperangkap di sebuah gudang di Puchong.
"Setibanya di lokasi, saya mendapati anggota polis dan anggota bomba sedang mengeluarkan mangsa dengan menggunakan lori untuk dihantar ke kawasan selamat,” katanya yang mesra dengan panggilan Pak Pen Firdaus.
Dia berkata, setelah keadaan banjir di Puchong terkawal, tiba-tiba pasukan BSTSS menerima maklumat mengenai Taman Sri Muda ditengelami air pada jam 11 malam.
"Kami telah diarahkan untuk membantu membawa mangsa ke luar dari kawasan itu,” ujarnya.
Ketika dalam perjalanan ke lokasi kejadian, Mohammad Firdaus berkata, dia nampak ramai mangsa berada di tepi jalan apabila melalui Lebuhraya Shah Alam (Kesas) untuk menuju ke Taman Sri Muda.
"Mereka menangis sambil meminta kami membantu untuk menyelamatkan ahli keluarga lain yang masih terperangkap di rumah,” katanya.
Semasa berada di sebuah stesen minyak di Taman Sri Muda, Mohammad Firdaus memberitahu, dia melihat seorang lelaki menaiki sebuah bot sedang membawa keluar mangsa banjir yang terperangkap.
"Saya telah membantu lelaki itu kerana dia tidak boleh menyelamatkan mangsa dalam masa sama ketika mengemudi bot,” katanya.
Pada ketika itu, seorang wanita memaklumkan mengenai bapanya telah hilang dan minta ditunjukkan arah jalan sekitar kawasan perumahan tersebut.
"Keadaan pada ketika itu gelap, kami hanya terdengar mangsa mengetuk baldi, menjerit dan menangis serta merayu untuk diselamatkan,” katanya.
Menurut Mohammad Firdaus, dalam keadaan samar-samar dia ternampak paras air sudah mencecah hingga ke tangga tingkat dua rumah di kawasan itu.
"Dalam operasi ini, beberapa kali enjin bot terlanggar kereta dan tersangkut sehingga saya perlu turun dan menolak bot,” ujarnya.
Beliau berkata, sebanyak enam buah bot dan satu kayak telah memasuki kawasan tersebut untuk membantu menyelamatkan mangsa pada jam 6 pagi.
"Ada juga mangsa yang tidak mahu keluar dari rumah, namun mereka merayu agar diberi bekalan makanan,” katanya.
Mohammad Firdaus menambah, pada ketika itu, keadaan dirinya sangat dahaga, lapar dan hanya sempat menjamah bungkusan coklat yang hanyut dalam banjir.
Apabila keadaan cuaca makin cerah, dia bersama lelaki berkenaan membuat keputusan untuk berehat kerana keletihan.
"Ketika itu kami berjaya menyelamatkan kira-kira 50 mangsa dan bapa kepada wanita berkenaan. Saya juga terlibat dalam operasi mengeluarkan dua individu yang meninggal dunia dalam tragedi ini,” katanya.
Tanah runtuh Batang Kali menyentuh perasaan
Mohammad Firdaus berkata, selain menyelamatkan mangsa banjir, pengalaman yang tidak boleh dilupakan sepanjang 10 tahun bertugas sebagai anggota bomba sukarela ialah tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm pada 16 Disember lalu.
"Tragedi ini turut menyentuh perasaan saya kerana ia melibatkan jumlah mangsa yang ramai. Seramai 92 mangsa dan 31 dilaporkan terkorban termasuklah kanak-kanak,” katanya.
Dia memberitahu, pasukan BSTSS telah menerima panggilan kecemasan berkaitan tragedi itu pada jam 3.30 pagi.
"Setibanya di lokasi, saya mendapati Pasukan Bomba Sukarela Gombak dan Kepong serta anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Hulu Selangor telah tiba di lokasi kejadian.
"Kami segera meminta kebenaran komander operasi untuk turun ke lokasi tanah runtuh untuk membantu menyelamatkan mangsa yang masih hidup,” ujarnya.
Mohammad Firdaus berkata, keadaan di lokasi juga bahaya kepada pasukan mencari dan menyelamat.
"Kami kemudian diarahkan untuk membantu di pusat kawalan bomba di lokasi tragedi, tugasnya sukar kerana kita perlu mengkoordinasi setiap anggota penyelamat dalam misi ini,” katanya.
Padam bangunan KWSP terbakar
Menurut Mohammad Firdaus, selain terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa banjir serta tanah runtuh, dia juga terlibat dalam operasi memadamkan kebakaran bangunan.
"Salah satu operasi memadamkan kebakaran bangunan paling sukar pernah saya terlibat ialah membabitkan kebakaran di pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja di Petaling Jaya, kira-kira jam 12 tengah hari pada 13 Februari 2018,” kata lelaki tersebut.
Jelasnya, bangunan berkenaan didapati menggunakan bahan pelapis iaitu 'polyfoam' yang mudah terbakar.
"Dinding bangunan itu dipasang menggunakan bahan mudah terbakar, malah keadaan api marak dengan cepat, angin serta cuaca panas menjadi cabaran yang perlu dihadapi oleh saya bersama pasukan bomba sukarela,” katanya.
Menurut Mohammad Firdaus, kebakaran itu melibatkan bahagian luar bangunan dan sebahagiannya di dalam premis.
"Pasukan bomba sukarela kemudian telah diarahkan untuk membantu memadamkan kebakaran dari luar zon merah atas faktor keselamatan,” katanya.
Kesemua pekerja yang berada di bangunan itu telah berjaya dikeluarkan dan ditempatkan di kawasan lapang berdekatan.
"Usaha memadam kebakaran ini melibatkan 43 anggota dan pegawai dari Balai Bomba Damansara, Balai Bomba Pelabuhan Klang, Balai Bomba Hang Tuah dan Balai Bomba Pantai,” katanya.
Ilmu rawatan awal penting urus mangsa cedera
Mohammad Firdaus berkata, anggota pasukan bomba sukarela juga perlu mahir dalam ilmu pertolongan cemas dan melakukan rawatan awal kepada mangsa yang mengalami kecederaan.
"Saya pernah melakukan rawatan awal kepada seorang lelaki warga emas melecur di muka dan tangan ketika menyelamatkan diri dari bengkel kenderaan yang terbakar di Taman Bukit Teratai, Ampang pada 15 Julai 2017,” katanya.
Mangsa berusia 79 tahun itu berseorangan di bengkel tersebut dan cuba memadamkan kebakaran sehingga mengakibatkan dirinya cedera.
"Saya bersama orang awam segera menyelamatkan lelaki warga emas ini setelah menyedari situasi bahaya dan api makin marak. Menggunakan sedikit ilmu rawatan awal, saya merawat lelaki ini, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut,” katanya.
Dia berkata, bengkel membaiki kenderaan itu musnah 100 peratus.
"Operasi membabitkan tiga jentera bersama 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah, Ampang dan Cheras. Operasi pemadaman ini turut dibantu oleh pasukan bomba sukarela dari Salak, Kepong dan Bukit Bintang,” ujarnya.
Minat pasukan beruniform sejak di bangku sekolah
Anak kelapan dari 10 beradik itu berkata, dia menyertai Kadet Bomba dan Penyelamat Malaysia ketika berada di tingkatan satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Maluri.
"Saya kemudian menyertai Pasukan Bomba Sukarela Kepong pada 2010, dua tahun kemudian saya berkhidmat dengan Pasukan Bomba Taman Sri Serdang,” ujarnya.
Mohammad Firdaus yang berasal dari Kampung Pandan, Kuala Lumpur itu memberitahu, pengambilan anggota bomba sukarela baharu diadakan sepanjang tahun.
"Anggota baharu wajib menyertai latihan asas secara berkala yang telah ditetapkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
"Anggota akan didedahkan dengan pelbagai latihan asas termasuk operasi menyelamat mangsa tersepit akibat kemalangan jalan raya dengan menggunakan peralatan khas,” ujarnya.
Menurutnya, pasukan BSTSS mempunyai 40 anggota yang terdiri daripada pelbagai kaum.
"Objektif utama pasukan bomba sukarela ditubuhkan sebagai pasukan sokongan kepada JBPM.
"Walaupun kami hanya sukarelawan tidak dibayar sebarang elaun, namun kami tetap bersemangat membantu dalam operasi ketika berlaku bencana,” katanya.