Kad perakuan pelarian dijual RM500, sasar warga Myanmar

Iklan
Khairul Dzaimee menunjukkan kad perakuan yang dirampas dalam operasi itu pada awal pagi Sabtu.

KUALA LUMPUR - Kegiatan sebuah pertubuhan didalangi warga asing menjual kad perakuan pelarian dengan harga RM500 terbongkar selepas digempur menerusi Op Sapu di sebuah flat di Jalan Abraham, Off Jalan Imbi, Bukit Bintang di sini awal pagi Sabtu.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, berselindung di sebalik sebuah flat, pertubuhan haram berkenaan dipercayai telah mula aktif seawal tahun 2009 berdasarkan papan iklan yang dipamerkan di premis terbabit.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemegang kad berkenaan kononnya diiktiraf sebagai orang pelarian yang diakui oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

"Pertubuhan berkenaan akan memproses permohonan etnik Chin dari Myanmar untuk mendapatkan kad UNHCR di mana individu berkenaan akan mengisi borang di premis terbabit dan membuat pembayaran.

Iklan

"Pertubuhan ini turut mengeluarkan kad tertera nama pertubuhan malah turut tertulis pada kad berkenaan dalam bahasa Malaysia ‘pemegang kad ini seperti muka di hadapan adalah seorang pelarian’" katanya pada sidang akhbar di lokasi operasi di sini pada Sabtu.

Khairul Dzaimee berkata, pihak pertubuhan akan mencetak sendiri kad perakuan terbabit selepas menerima dokumen dan bayaran daripada pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berminat walaupun tiada sebarang permohonan dibuat kepada pihak UNHCR.

Iklan

Beliau berkata, hasil siasatan awal dan berdasarkan jumlah PATI di kawasan berkenaan, pihaknya menganggarkan sekitar 1,000 ahli telah berdaftar di bawah pertubuhan haram berkenaan.

"Jelas sekali pertubuhan ini tidak sah dan kad yang dikeluarkan mereka itu juga adalah tidak sah," tegas beliau.

Katanya, pelbagai peralatan termasuk mesin pencetak kad, kad kosong, kad yang sudah dicetak dan dokumen serta sijil dengan logo UNHCR telah dirampas dalam serbuan jam 12.30 tengah malam itu.

"Kita percaya pengerusinya terdiri daripada salah seorang etnik Chin ini dan siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengetahui berapa lama mereka berada Malaysia," ujar beliau.