KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Sabtu menafikan sebarang penglibatan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dalam skim pelaburan dikenali sebagai Amundi.
Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, satu laporan polis telah dibuat agar siasatan boleh dimulakan ke atas individu tidak bertanggungjawab yang menyamar dengan menggunakan nama Acryl Sani.
Iklan
Iklan
"Siasatan ke atas skim pelaburan berkenaan juga sedang dijalankan dan polis menasihatkan orang awam untuk sentiasa berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan skim penipuan pelaburan sebegini,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Noorsiah memaklumkan PDRM baru-baru ini telah mengesan satu kumpulan di aplikasi WhatsApp yang mempromosikan satu pelaburan dan terdapat satu profil menyamar sebagai Acryl Sani.
"Individu terbabit yang menggunakan nombor telefon 010-2301160 mendakwa kononnya KPN turut menyertai skim pelaburan berkenaan,” katanya. - Bernama