Dua hilang, seorang selamat kereta terhumban ke Sungai Rajang

Iklan
SIBU - Dua individu dilaporkan hilang manakala pemandu kereta sedan itu selamat selepas kenderaan yang dinaiki mereka terhumban ke dalam Sungai Batang Rajang berdekatan Jeti Feri Tanjung Kunyit, kira-kira 15 kilometer dari sini awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, laporan berhubung kejadian itu diterima kira-kira jam 2.03 pagi dan satu operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia sudah diaktifkan.

"Mangsa pertama seorang lelaki berumur 38 tahun berjaya ditemukan pada jam 7.30 pagi dan telah dibawa ke Hospital Sibu dan keadaan mangsa stabil manakala usaha mengesan dua lagi mangsa masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak dalam kenyataan berkata, seorang daripada dua mangsa yang masih hilang dikenal pasti sebagai Philip Yiin Chung Leong, 61, sementara identiti seorang lagi mangsa belum diperoleh.

Kenyataan itu menyebut lima anggota JBPM dari Balai Bomba dan Penyelamat Sibu Sentral telah digerakkan ke lokasi itu bagi menyertai operasi SAR berkenaan.

"Pencarian dilakukan dengan menaiki sebuah bot dan dibantu empat anggota Polis Marin dalam sebuah lagi bot bagi menjalankan pencarian di permukaan air,” tambahnya. - Bernama