JOHOR BAHRU - Akibat terjerat dengan cinta 'pucuk muda', seorang lelaki warga emas diperdaya sindiket ‘Love Scam’ hingga mengalami kerugian RM68,460 baru-baru ini.
Mangsa Chong Hing, 62, berkata, semuanya bermula apabila dia berkenalan dengan seorang wanita tempatan yang dikenali sebagai Yean berusia 20-an pada Mac tahun lalu menerusi media sosial.
Bekas pemandu lori itu berkata, pada mulanya mereka hanya berkawan tetapi selepas itu mereka mula bercinta walaupun jarak umur berbeza.
"Hubungan saya selepas itu semakin rapat apabila kerap berhubung menerusi WhatsApp sebelum terpedaya dengan pujukan Yean untuk menyertai pelaburan bitcoin yang menjanjikan pulangan berganda dalam tempoh masa kurang sebulan.
"Yean mendakwa, menerusi pelaburan RM50,000 saya akan mampu mendapat pulangan RM100,000. Saya yakin dengan apa yang dikatakan Yean kerana dia mendakwa turut menyertai pelaburan sama dengan melabur RM20,000 dan turut menunjukkan bukti transaksi kewangan pernah dilakukan.
Dia berkata demikian kepada pemberita selepas mengadu masalah itu kepada Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse di Pejabat Khidmat Wakil Rakyat Tebrau di Taman Gaya di sini pada Sabtu.
Chong Hing berkata, keadaan itu mengakibatkannya tidak berfikir panjang dan membuat pelaburan menggunakan wang simpanan yang dikumpul selama 27 tahun, kad kredit serta sanggup meminjam sejumlah wang daripada ahli keluarga.
Dia kemudian membuat pelaburan menerusi transaksi ke akaun bank milik individu tidak dikenali bernama Bobby Hermawan dan Chia Kei Leing.
Katanya, transaksi dilakukan sebanyak RM15,000 pada 2 November 2022, diikuti RM53,460 pada 4 November 2022 termasuk bagi bayaran cukai.
Jelas Ching Hing, dia dijanjikan pulangan itu akan dimasukkan ke dalam akaun peribadi miliknya pada 30 Disember 2022.
"Malangnya saya menyedari diri saya tertipu apabila mendapati pulangan dijanjikan iaitu RM112,000 tiada dalam akaun saya malah Yean memberi alasan pengurusan pelaburan tidak dapat membuat pembayaran kerana akaun saya bermasalah.
"Selepas kejadian itu, Yean mula menjauhkan diri daripada saya seolah-olah sudah memutuskan hubungan," katanya.
Berikutan itu dia yakin Yean adalah scammer dan menjalin hubungan cinta hanya bertujuan mempengaruhinya menyertai pelaburan tersebut.
Dia yang mengalami kerugian RM68,460 membuat laporan di Balai Polis Pelangi Indah pada 3 Januari lalu.
Sementara itu, Wee Tse berkata, pihaknya berharap orang ramai lebih berhati-hati sebelum menyertai sebarang pelaburan kerana boleh mengakibatkan mereka menanggung kerugian serta berdepan masalah tidak diingini.
"Akibat menjadi mangsa, sesetengah individu berdepan tekanan, orang ramai seharusnya berwaspada dengan tawaran pulangan berlipat kali ganda yang tidak masuk akal," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd Sohaimi Ishak mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.
"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi.