Solari tekad kekal penguasaan Harimau Selatan

Iklan
Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards (kanan) ketika memperkenalkan Solari dalam sidang media di pejabat kelab bola sepak berkenaan pada Sabtu. Foto: Bernama

PENGENDALI baharu Johor Darul Ta'zim (JDT), Esteban Solari meletakkan sasaran untuk meneruskan penguasaan Harimau Selatan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Bekas pemain Argentina berusia 42 tahun yang menandatangani kontrak selama setahun bersama kelab itu berkata, beliau telah bersedia untuk mengulangi pencapaian JDT dan ia adalah tanggungjawab yang besar buatnya untuk mengekalkan kecemerlangan pasukan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, berdasarkan reputasi cemerlang pasukan sepanjang Liga-M musim lepas, beliau akan berkongsi pengalamannya bersama pasukan untuk memastikan JDT mampu pergi lebih jauh bukan sahaja dalam Liga-M tapi juga dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL).

Walaupun memikul tugas sukar, beliau tetap optimis dengan keupayaan pasukan JDT berdasarkan kepada kemudahan yang ada pada kelab itu di samping barisan pemain berkualiti yang dimiliki pasukan.

Iklan

"Kita akan fokus dari sehari ke sehari, kita ada perancangan untuk menambah baik...fizikal, perubatan dan taktikal...kita akan bekerjasama dengan pemain setiap hari. Persiapan telah dijalankan lebih awal, untuk membentuk satu pasukan yang kuat bagi menghadapi musim baharu nanti.

"JDT adalah pasukan yang berjaya, jadi tanggungjawab adalah besar untuk kita pikul, kita akan lakukan yang terbaik, kita akan bekerja dan bermandi keringat setiap hari untuk pastikan pasukan ini berada pada satu tahap tertentu. Biarpun ia sukar tapi saya tahu, kita ada segalanya untuk mencapai sasaran," katanya ketika sidang media pada Sabtu.

Iklan

Solari berkata, senarai kesebelasan utama untuk Liga Super dijangka bermula bulan depan, adalah bergantung kepada prestasi pemain ketika perlawanan persahabatan pramusim 2023 berlangsung di Dubai, Emirah Arab Bersatu (UAE) dengan kelab seperti Rostov, Levski Sofia, Lokomotiv Moscow dan Zenit St Petersburg.

"Kita ada persaingan dalam kalangan pemain...kita mahukan para pemain bermain dengan baik pada lima perlawanan persahabatan di Dubai supaya kita dapat membuat pemilihan dan mendapatkan kesebelasan utama untuk bermain pada Februari.

"Ia bagus untuk pemain berkualiti mempunyai pesaing agar mereka dapat meningkatkan prestasi sendiri," katanya.

Solari diumumkan sebagai ketua jurulatih JDT yang baharu pada 1 Disember lepas bagi menggantikan Hector Bidoglio yang dilantik sebagai Pengarah Teknikal pasukan manakala Alistair Edwards dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif kelab dari selatan itu.

Solari sebelum ini pernah mengendalikan skuad bawah 19 tahun (B-19), B-20 dan B-23 tahun Argentina selama lima tahun. - Bernama