KLANG - Gara-gara memaki hamun rakan serumah yang lewat menghantarnya ke tempat kerja, seorang operator kilang menerima ugutan sekumpulan individu yang bersenjatakan besi dalam kejadian di Jalan Batu Nilam 13, Bandar Bukit Tinggi 1, Klang di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 pagi ketika mangsa berada dalam bilik sewanya.
"Mangsa didatangi lima lelaki yang bertindak membuka pintu bilik dengan agresif, salah seorang suspek membawa sebatang besi dan cuba untuk memukul mangsa.
"Mangsa bagaimanapun menolak suspek keluar dan mengunci pintu bilik serta menghubungi pihak polis untuk mendapatkan bantuan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Katanya, susulan kejadian, serbuan dijalankan sepasukan polis dari Cawangan Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan kira-kira jam 1.35 pagi di lokasi kejadian.
"Serbuan dijalankan berjaya memberkas dua lelaki warga tempatan berumur 23 dan 26 tahun manakala tiga lagi rakan suspek berjaya melarikan diri," katanya.
Menurutnya, punca kejadian disebabkan suspek tidak berpuas hati kerana mangsa mengeluarkan perkataan kurang sopan akibat lambat menghantarnya ke tempat kerja pada hari sebelum kejadian.
"Siasatan dijalankan mendapati suspek merupakan pemandu van kilang yang ditugaskan untuk mengambil dan menghantar pekerja kilang termasuk mangsa.
"Semakan rekod dijalankan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau," katanya.
Ujar Hoong Fong, kedua-dua suspek direman empat hari bagi siasatan lanjut.
"Polis turut merampas sebatang besi yang digunakan suspek semasa kejadian dan kes disiasat bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan," katanya.