HARIMAU Malaya membawa bekalan tipis bertandang ke Stadium Thammasat, Selasa depan selepas meraih kemenangan 1-0 ke atas Thailand dalam aksi separuh akhir pertama, Piala AFF di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu.
Skuad Gajah Perang tampak lebih agresif pada babak pertama perlawanan mencipta banyak peluang sehingga mengucar-ngacirkan benteng pertahanan negara.
Namun, kekebalan pertahanan negara yang diterajui Sharul Nazeem dan Dominic Tan berjaya menghentikan setiap asakan lawan.
Thailand melakukan asakan seawal minit keempat melalui pemain pertahanan mereka, Pansa Hemviboon, namun tandukannya tersasar.
Pemain sensasi negara, Faisal Halim menggamatkan Stadium Nasional, Bukit Jalil pada minit ke-11 selepas menyempurnakan hantaran Ruventhiran.
Bagaikan tersentak, Thailand menggandakan percubaan melalui tandukan Ekanit Panya, namun diselamatkan Syihan Hazmi pada minit ke-13 disusuli tendangan Suphanan Bureerat lapan minit kemudian yang tersasar.
Skuad kendalian Kim Pan-gon hampir menambah jaringan melalui Quentin Cheng pada minit ke-27, namun tendangannya melambung tinggi.
Bersambung babak kedua, Thailand terus gigih memburu gol penyamaan dan hampir berjaya pada minit ke-47 jika tidak kerana Shahrul Nazeem menafikan cubaan Panya.
Minit ke-56 menyaksikan kekecohan berlaku apabila pengadil membatalkan gol Dominic Tan selepas Darren terlebih dahulu didakwa mengasari pertahanan Thailand, Hemviboon.
Skuad negara dijangka berdepan tugas mencabar perlu mengatasi gelora di Stadium Thammasat dalam aksi timbal balik sebelum mengesahkan tiket ke final.