SULAWESI SELATAN - INDONESIA . Dua lelaki mempertaruhkan tanah seluas dua ekar buat calon Presiden Indonesia sebagai tanda sokongan pada Pilihan Raya Umum (Pemilu) yang berlangsung hari ini.
Memetik Tribunnews, tawaran itu tular di media sosial termasuk di Instagram @makassar_iinfo.
Dalam Pilihan Raya Presiden Indonesia hari ini, penyandangnya Joko Widodo atau lebih mesra disapa Jokowi dicabar bekas panglima tentera, Prabowo Subianto.
Difahamkan, sekeping gambar yang tular itu menunjukkan Hendrik, 30, menyokong Jokowi manakala bapa saudaranya, Abdul Aziz, 39, menjadi penyokong kuat Probowo berjabat tangan di hadapan sebidang tanah kosong.
Turut disiarkan surat perjanjian pertaruhan itu.
Hendrik yang dihubungi Tribunnews mengesahkan perjanjian itu dan memberitahu tanah yang menjadi taruhan adalah tanah terbiar.
"Tanah itu adalah kawasan kosong di desa yang sudah 10 tahun tidak dimajukan kerajaan. Siapa yang menang boleh mengusahakan tanah itu,” katanya.
Sementara itu, dua lagi penyokong Jokowi dan Probowo turut tidak ketinggalan apabila mempertaruhkan dua kereta, masing-masing jenis Honda Freed dan Toyota Avanza.