[VIDEO] FAMA tampung 40 peratus bekalan telur ayam di Kedah

Iklan
Isa meninjau jualan khas telur ayam di Pasar Tani Taman Wira pada Ahad.

ALOR SETAR - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kedah menampung kira-kira 40 peratus keperluan bekalan telur di negeri ini.

Pengarah FAMA Kedah, Isa Hamzah berkata, ia dilakukan melalui edaran 150,000 telur ayam bagi memenuhi permintaan pengguna di Kedah.

Iklan
Iklan

Isa berkata, sebanyak 105,000 telur ayam diedarkan di peringkat pertama pada 27 hingga 28 Disember tahun lepas, manakala 45,000 telur ayam lagi diedarkan di peringkat kedua bermula 5 Januari hingga Ahad.

"Sebanyak 5,000 papan telur ayam mengandungi 150,000 telur ayam itu adalah daripada gred A, B, C, Omega-3 dan kampung.

Iklan

"Edaran telur ayam ini dilakukan di Agrobazaar Kedai Rakyat (AKR), Agrobazaar Rakyat (ABR), Agrobazaar K-Shoppe, pusat operasi FAMA, pasar tani, pasar tani kekal dan usahawan industri asas tani (IAT)," katanya ketika ditemui semasa jualan khas telur ayam di Pasar Tani Taman Wira di sini pada Ahad.

Sehubungan itu, menurut beliau, pengguna yang ingin mendapatkan telur daripada FAMA boleh membeli di outlet FAMA seperti pasar tani kekal, AKR, ABR dan sebagainya.

Iklan

Tambah Isa, beliau mendapati sambutan yang diterima melalui jualan khas itu amat menggalakkan terutamanya telur ayam gred B yang habis dalam tempoh tidak sampai satu jam.

Tambah beliau, FAMA Kedah cuba mendapatkan 150,000 telur ayam lagi daripada pengeluar di Melaka pada minggu depan susulan sambutan hangat daripada pengguna.

"Ini adalah usaha FAMA Kedah sendiri bagi menjamin bekalan telur berada di pasaran untuk kegunaan pengguna di negeri ini.

"Sebenarnya, bekalan telur ayam sudah ada pembekalnya sendiri dan FAMA Kedah menampung bekalan bagi memastikan telur ayam ada di outlet FAMA," katanya.

Sementara itu, pesara tentera, Zamari Basnon, 63, berkata, dia menyambut baik usaha FAMA mengadakan jualan khas bagi membantu pengguna mendapatkan bekalan telur ayam.

"Terima kasih FAMA jual telur melalui jualan khas, saya pergi ke sana sini mencari bekalan telur ayam kerana agak sukar diperoleh dan harganya juga mahal. Jadi, bagus ada jualan seumpama ini," katanya.

Peniaga, Harishon Salleh, 38, pula berkata, bekalan telur ayam agak sukar diperoleh di sekitar Alor Setar.

"Tempat lain macam susah sikit untuk dapatkan bekalan telur. Jadi, saya harap jualan khas ini dapat diadakan lebih kerap," katanya.

Pandangan sama disuarakan suri rumah, Che Putih Ismail, 58, yang berharap supaya jualan khas diadakan lebih kerap di pasar tani bagi memudahkan pengguna sepertinya mendapatkan bekalan telur ayam.